Apabila Kopi Bertemu Cizhou Kiln

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 13 Julai 2023

Aroma kopi dari cawan porselin tanur Cizhou yang diukir di atas tanah putih serta buih susu yang dikacau dan dituangkan ke dalamnya menghasilkan corak mawar apabila cawan itu bergoncang ke kiri dan ke kanan.... Di Bandar Seramik Cizhou Kiln yang terletak di kawasan oerlombongan Fengfeng, kota Handan, provinsi Hebei, China, seorang gadis Taiwan kelahiran "pasca 90-an", sedang membuat kopi istimewa.

Chen Yuqi berasal dari Taichung, Taiwan memberitahu bahawa dirinya "mengemari kekayaan aroma kopi serta kedalaman sejarah dan budaya kopi". Pemudi ini mengusahakan kedai kopi di Bandar Seramik Cizhou Kiln, dan kopi yang digandingkan dengan tanur Cizhou adalah keistimewaan restoran kecil itu.

Pada 13 Jun, Chen Yuqi, seorang gadis Taiwan membuat kopi istimewa di kedai kopinya di Bandar Seramik Cizhou Kiln yang terletak di kawasan perlombongan Fengfeng. (foto: Li Dong/Chinanews.com)

Cizhou Kiln ialah sistem tanur rakyat terbesar di utara China pada zaman dahulu. Ia dicipta pada Dinasti Utara dan mencapai kemuncaknya dalam dinasti Song, Jin dan Yuan. Sistem tanur ini telah bertahan selama beribu-ribu tahun. Oleh kerana seni hiasan utama adalah tanah putih dan bunga hitam, tanur Cizhou dipanggil "seni putih dan hitam". Kawasan sekitar bandar Pengcheng di kawasan perlombongan Fengfeng adalah kawasan teras Cizhou Kiln.

Chen Yuqi pernah pergi ke kawasan perlombongan Fengfeng pada 2016. Pada masa itu, dia bekerja dengan sebuah syarikat kopi di Taiwan sebagai perunding kafe. Pada tahun yang sama, syarikat itu menghantarnya ke Fengfeng untuk membimbing penubuhan, hiasan dan latihan kemahiran bagi sebuah kedai kopi.

"Saya sangat menyukai kedua-dua bentuk dan makna karakter perkataan China, serta lukisan China bebas. Oleh itu, apabila saya melihat inskripsi dan hiasan pada porselin tanur Cizhou, saya berasa sangat terikat." Chen Yuqi memberitahu bahawa pada masa tersebut, tiap kali ada kelapangan, dia akan meminta rakan tempatan membawanya melawat Jalan Lama Pengcheng dan membeli-belah porselin tanur Cizhou. "Mungkin kerana budaya istimewa di sini, saya mendapati diri saya telah jatuh cinta dengan bandar kecil ini."

Chen Yuqi memaklumkan bahawa selepas kerja di Fengfeng selesai, dia sering teringatkan Cizhou Kiln dan rentak kehidupan pekan kecil Fengfeng yang perlahan. Akhirnya, pada tahun 2020, dia kembali ke Fengfeng dengan pemanggang biji kopi dan impian keusahawanannya sendiri. Pada penghujung tahun 2022, kafe milik Chen dan rakannya secara rasmi bertapak di Bandar Seramik Cizhou Kiln, kawasan perlombongan Fengfeng.

Bandar Seramik Cizhou Kiln aktif dengan lebih daripada 140 peniaga yang berkaitan dengan industri utamanya. Di sini, Chen Yuqi berkenalan dengan ramai pembuat tanur Cizhou, dan dia juga boleh membuat porselin sendiri. Katanya sambil tersenyum, "Rasa senang sekali dikelilingi oleh budaya tanur Cizhou." Kejiranan budaya yang kaya dengan tanur Cizhou juga mempunyai trafiknya sendiri. Kafe mereka menjadi "tempat wajib dikunjungi artis siber" tidak lama kemudian. Ramai orang akan datang ke situ untuk menikmati seni porselin dan minum kopi. Biasanya bilangan pelancong tidak putus-putus hingga pukul 11 ​​malam setiap hari.

Pada 13 Jun, Chen Yuqi menikmati kopi menggunakan cawan tanur Cizhou bersama rakan-rakannya. (foto: Li Dong/Chinanews.com)

Chen Yuqi, yang suka menggabungkan kesemua hobinya sering meluangkan masa dengan tukang-tukang tanur setempat.

"Terdapat budaya menarik di sini, dan terdapat juga banyak peluang untuk pembangunan." Chen Yuqi memberitahu bahawa pada masa hadapan, dia merancang untuk menghasilkan beberapa produk kopi jenama bersama Cizhou Kiln, yang akan menggabungkan ciri-ciri Cizhou Kiln dari pembungkusan produk hingga ke rasa kopi. Dia mahu kopinya menyampaikan "Ribuan Kisah Api Tanur".

Gaya Hidup

Berita Berkaitan