Sukan Universiade ke-31 Buka Tirai Hari Ini

(CRI)Jumaat 28 Julai 2023

Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri acara perasmian Sukan Universiti Musim Panas Dunia (Universiade) yang ke-31 di Chengdu hari ini.

Difahamkan, beliau juga akan mengadakan majlis jamuan untuk menyambut kedatangan pemimpin negara-negara luar, serta mengadakan sesi pertemuan dua hala.

Pada Khamis, Xi telah bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Joko Widodo di Chengdu, sekali gus menjadi pertemuan empat mata kali ketiga kedua-dua presiden itu dalam tempoh setahun.

2023 merupakan tahun yang memberi makna besar terhadap perkembangan hubungan China-Indonesia apabila kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif China-Indonesia, serta ulang tahun ke-10 cadangan Presiden Xi untuk membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat.

Xi dalam perbincangannya bersama Jokowi berkata bahawa China bersedia untuk memperdalam perkongsian strategik yang komprehensif dengan ASEAN, menyokong tugas Indonesia sebagai pengerusi bergiliran ASEAN tahun ini.

Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk memimpin ASEAN untuk melaksana autonomi strategik, bersatu dan memperbaiki diri, selain bersama-sama mewujudkan kestabilan dan pembangunan serantau.

Pada Universiade edisi kali ini, 99 peratus pelakon dan sukarelawan untuk majlis perasmian terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi.

Untuk Universiade Chengdu, para atlet akan menyertai pertandingan dalam 269 acara dari 18 kategori.

Pada masa sama, beberapa aktiviti pendidikan dan kebudayaan seperti Persidangan Akademik Dunia FISU juga akan diadakan untuk mempergiat pertukaran antara atlet pelajar universiti China dan atlet pelajar universiti dari pelbagai negara dan kawasan di seluruh dunia.

Berita Berkaitan