China Siap Siaga Hadapi Taufan Saola Menjelang Musim Buka Sekolah

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 01 September 2023
China Siap Siaga Hadapi Taufan Saola Menjelang Musim Buka Sekolah
Bot nelayan berlindung daripada Taufan Saola yang menghampiri di sebuah pelabuhan di Zhangzhou, provinsi Fujian, tenggara China, 30 Ogos 2023. Sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi taufan super Saola yang semakin hampir, beberapa bandar di provinsi-provinsi pesisir pantai China termasuk Guangdong dan Fujian telah menangguhkan permulaan semester sekolah baharu yang akan datang, selain turut menutup operasi kereta api dan feri secara sementara, serta mengarahkan bot nelayan di perairan yang terjejas supaya kembali ke pelabuhan untuk keselamatan. (Xinhua/Wei Peiquan)

Sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi taufan super Saola yang semakin hampir, beberapa bandar di provinsi-provinsi pesisir pantai China termasuk Guangdong dan Fujian telah menangguhkan permulaan semester sekolah baharu yang akan datang, selain turut menutup operasi kereta api dan feri secara sementara, serta mengarahkan bot nelayan di perairan yang terjejas supaya kembali ke pelabuhan untuk keselamatan.

Beberapa bandar termasuk Shantou, Shanwei, Jieyang dan Chaozhou di timur Guangdong, serta Quanzhou dan Zhangzhou di Fujian bertindak menangguhkan permulaan semester baharu bagi sekolah rendah, sekolah menengah dan tadika kepada 4 September.

Syarikat Kumpulan Kereta Api China Guangzhou dalam satu kenyataan pula memaklumkan bahawa penggunaan laluan kereta api bahagian Guangdong, termasuk laluan antara bandar Guangzhou-Shenzhen dan laluan kereta api laju Guangzhou-Shenzhen-Hong Kong turut dihentikan sementara dari Khamis hingga Isnin.

Pada masa sama, ibu pejabat kawalan banjir, kemarau dan taufan Guangdong menukar tahap respons kecemasannya ke Tahap II pada 8 pagi Khamis.

Difahamkan, tahap pelarasan dan penggantungan operasi kereta api yang sedemikian turut dilaksanakan di provinsi jiran iaitu Fujian.

Untuk rekod, Fujian telah menghentikan beberapa projek pembinaan atas air dan sejumlah perkhidmatan feri penumpang di bandar Xiamen dan Zhangzhou setakat 8 pagi Khamis. Perkhidmatan empat laluan perkapalan penumpang merentasi Selat Taiwan, yang bermula dari Xiamen, Quanzhou dan Fuzhou di Fujian, turut dihentikan sementara waktu bagi mengelakkan kesan taufan Saola.

Di Shanwei, Guangdong, iaitu kawasan yang berkemungkinan berlakunya taufan pada Jumaat, pihak berkuasa pada Khamis mengarahkan penggantungan operasi sekolah, pembinaan, pengeluaran, pengangkutan dan perniagaan mulai Jumaat.

Arahan berkuat kuasa sehingga situasi berjaya dikeluarkan dari Aras I tindak balas kecemasan taufan.

Sementara itu, balai cerap negara China pada Khamis telah memperbaharui amaran merah untuk Taufan Saola, iaitu amaran paling teruk dalam sistem amaran taufan empat peringkatnya.

Ini susulan daripada jangkaan bahawa taufan kesembilan tahun ini tersebut akan membawa angin ribut dan hujan lebat ke bahagian selatan dan timur China.

Dicerap di atas lautan, taufan super Saola berada kira-kira 330 kilometer tenggara kaunti Huilai di Guangdong pada 5 pagi Khamis, dengan daya angin maksimum melebihi gred-17 berhampiran pusatnya pada kelajuan 58 meter sesaat.

Menurut Pusat Meteorologi Negara, taufan itu dijangka mengarah ke barat laut pada kelajuan 10 kilometer sejam dengan aras keamatan berkurangan secara perlahan-lahan.

"Ia akan berlabuh di kawasan pantai yang luas dari kaunti Huilai ke Hong Kong pada petang atau malam Jumaat, atau bergerak ke barat hala selatan dan melalui perairan timur Guangdong tanpa berhenti," memetik kenyataan pusat itu.

Video

Berita Berkaitan