Budaya Malaysia Serlah Daya Tarikan di China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 12 September 2023
Budaya Malaysia Serlah Daya Tarikan di China
Makanan Malaysia terbukti menjadi hidangan popular di festival kebudayaan di Beijing awal bulan ini, sekali gus mencerminkan kekayaan tradisi negara itu. (foto/China Daily)

Festival yang warna-warni, penuh meriah serta hidangan yang mengecurkan air liur berjaya mencerminkan warisan yang berkepelbagaian.

Kawasan Sanlitun, yang terletak di ibu negara China baru-baru ini diwarnai oleh elemen keterujaan berikutan penganjuran festival kebudayaan Malaysia yang menghidangkan makanan yang lazat, serta seni dan persembahan yang mengagumkan.

Acara selama tiga hari mulai 1 September itu dianjurkan dengan tujuan mempamerkan tradisi dan budaya Malaysia yang kaya, selain turut meraikan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara China dan Malaysia tahun depan.

Makanan gourmet istimewa seperti durian, bak kut teh, nasi lemak dan sate disediakan untuk memberikan peluang kepada orang ramai menikmati cita rasa tropika.

Permainan papan tradisional Asia Tenggara iaitu congkak, dan layang-layang Malaysia iaitu wau membolehkan pengunjung menikmati daya tarikan budaya negara dari jarak dekat.

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, persahabatan antara Malaysia dan China mempunyai sejarah yang panjang.

“Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif antara Malaysia dan China.

“Malaysia dan China sentiasa mengekalkan pertukaran budaya, dan kedua-dua pihak secara aktif menginovasi wahana pertukaran, serta mewujudkan platform untuk pertukaran, sekali gus mencapai hasil yang penting dalam pelbagai bidang,” ujar beliau.

Sementara itu, Tengku Eliza Ibrahim yang merupakan Ketua Penyelaras Projek untuk Perwakilan Beijing berkata, hidangan yang terdapat di situ secara amnya adalah makanan kegemaran rakyat Malaysia, dan kesemuanya disediakan sendiri oleh para wanita dari kedutaan Malaysia di China.

Difahamkan, Eliza dan pasukannya menyediakan tujuh menu berbeza untuk dijual dengan kuantiti sekitar 400 unit.

"Setiap hari menunya berbeza. Kami menyediakan hidangan yang kami (orang Malaysia) makan setiap hari. Semua kru di sini bertugas untuk membantu menjual makanan, (dan) mengumpul wang untuk tabung amal," katanya.

Video

Berita Berkaitan