China Sanggah Campur Tangan UK dalam Urusan Hong Kong

(CRI)Khamis 21 September 2023

China membantah sekeras-kerasnya kerajaan United Kingdom (UK) menyiarkan laporan enam bulan mengenai Hong Kong, yang mengandungi butiran berbaur kutukan terhadap hal ehwal wilayah pentadbiran khas itu.

Jurucakap Kementerian Luar Mao Ning menyelar laporan itu merupakan sesuatu yang klise.

"Dengan memutarbelitkan fakta, pihak UK campur tangan dalam hal ehwal Hong Kong dan urusan dalaman China. Ia bertentangan dengan prinsip undang-undang dan norma asas hubungan antarabangsa," kata beliau dalam taklimat harian pada Rabu.

Menurut beliau, pencapaian pembangunan Hong Kong tidak boleh dipertikaikan. Dasar 'satu negara, dua sistem' diterjemahkan dengan jayanya di wilayah itu sejak kepulangannya ke pangkuan tanah air.

"Hong Kong aktif mengintegrasikan diri ke dalam agenda pembangunan negara, selain terus berfungsi sebagai jambatan dan jendela penting antara Tanah Besar dengan dunia.

“Ekonomi Hong Kong terus berkembang maju dan statusnya sebagai pusat kewangan, perkapalan dan perdagangan antarabangsa kekal kukuh.

“Orde berpelembagaan terus berfungsi baik, dengan keselamatan negara ditegakkan dan prinsip ‘patriot mentadbir Hong Kong’ dilaksanakan. Wilayah itu menikmati prospek cerah dalam memajukan demokrasinya,” jelas Mao.

Jurucakap itu mengingatkan UK perlu tahu bahawa tiada campur tangan asing yang akan menggoyahkan keazaman Beijing untuk melaksanakan sepenuhnya ‘satu negara, dua sistem’, dan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilan Hong Kong takkan berjaya.

Video

Berita Berkaitan