Pekerja Sektor Baharu Ikuti Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan, Beri Usul Tambah Baik Suasana Kerja

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 10 Oktober 2023

Seramai 104 wakil terpilih dari provinsi Sichuan di barat daya China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianfu pada 7 Oktober 2023, untuk berhimpun bagi Kongres Kebangsaan Kesatuan Sekerja China ke-18, yang diadakan di Beijing pada 9 Oktober 2023. (foto/Workers’ Daily)

Seramai 104 wakil terpilih dari provinsi Sichuan di barat daya China tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianfu pada 7 Oktober 2023, untuk berhimpun bagi Kongres Kebangsaan Kesatuan Sekerja China ke-18, yang diadakan di Beijing pada 9 Oktober 2023. (foto/Workers’ Daily)

Kongres kebangsaan Kesatuan Sekerja China ke-18 berlangsung di Beijing pada Isnin dengan lebih satu perlima daripada perwakilan yang terpilih merupakan pekerja sektor baharu seperti penghantar barang dan pemandu e-panggilan.

Para perwakilan turut menggunakan platform tersebut untuk mengusulkan cadangan bagi melindungi hak dan kepentingan persatuan dengan lebih baik.

Menurut Persekutuan Kesatuan Sekerja Seluruh China (ACFTU), seramai 2,002 perwakilan daripada 35 delegasi di seluruh negara menghadiri kongres yang diadakan setiap lima tahun itu seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan ACFTU.

Difahamkan, kongres itu akan menyemak semula Perlembagaan Kesatuan Sekerja Republik Rakyat China dan memilih pucuk pimpinan baharu untuk ACFTU.

Dalam kalangan perwakilan, pekerja akar umbi dan barisan hadapan menyumbang 68.3 peratus, meningkat 3.2 berbanding kongres ke-17 pada 2018.

Manakala, kumpulan yang mewakili pekerja daripada organisasi ekonomi dan sosial baharu, atau yang terlibat dalam sektor pekerjaan baharu pula membentuk 22.4 peratus, yang meningkatkan lagi kepelbagaian dan jumlah peserta.

Zhu Jingtao, salah seorang perwakilan dari bandar Wuzhong di Wilayah Autonomi Hui Ningxia, barat laut China yang bekerja sebagai penghantar barang telah berjumpa dengan lebih 20 pengurus dan wakil pekerja dari beberapa syarikat penghantaran ekspres termasuk Yuantong, Jitu dan Shentong pada hari Perayaan Kuih Bulan untuk membawa suara daripada pekerja barisan hadapan di pentas kongres.

Cadangannya termasuk mempromosikan stesen perkhidmatan terbuka 24 jam tanpa pemandu untuk pekerja luar, mempercepatkan penubuhan sistem pemeriksaan fizikal untuk pekerja penghantaran, dan menubuhkan platform bantuan untuk pekerja yang terlibat dalam sektor pekerjaan baharu.

Perwakilan dari provinsi Guangdong, Fang Ou pula menyatakan tanggungjawab yang digalasnya adalah besar selaku wakil pemandu e-panggilan pada kongres itu.

“Kami telah menubuhkan Persekutuan Kesatuan Sekerja Industri E-Panggilan Guangzhou dan menarik penyertaan sekitar 20,000 pemandu.

“Saya telah mengemukakan cadangan yang berkaitan dengan harapan untuk terus melindungi pemandu serta hak untuk mendapat gaji yang berpatutan," katanya yang juga Pengerusi Persekutuan Kesatuan Sekerja Industri E-Panggilan Guangzhou.

Selain 2,002 wakil daripada kesatuan sekerja peringkat provinsi, kongres turut dihadiri kesatuan sekerja dari sektor kereta api, penerbangan awam dan kewangan, serta persekutuan kesatuan sekerja organisasi pusat dan badan kerajaan, di samping 60 delegasi jemputan khas dan 50 tetamu dari wilayah pentadbiran khas Hong Kong dan Makau.

Profesor undang-undang dari Universiti Renmin China, Liu Junhai ketika diwawancara Global Times pada Ahad memberitahu bahawa penglibatan pekerja sektor baharu dalam perwakilan kongres mencerminkan keutamaan yang diberikan kesatuan sekerja China untuk lebih menjamin hak dan kepentingan buruh kumpulan baharu itu.

Beliau berkata, hal ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pekerja, malah turut menggalakkan operasi platform yang patuh dan meningkatkan daya saing mereka untuk meningkatkan pembangunan berkualiti tinggi ekonomi China.

Memetik laporan ACFTU, seramai 84 juta pekerja terlibat dalam bentuk pekerjaan baharu di China pada akhir Mac. Kebanyakannya terdiri daripada pemandu trak, pemandu e-panggilan, kurier dan kakitangan penghantaran makanan, dengan majoritinya adalah lelaki kategori belia hingga pertengahan umur.

Liu berkata, ACFTU sedang berusaha melanjutkan dan mengemas kini tanggungjawabnya untuk berkhidmat dan melindungi majoriti pekerja dengan lebih baik, secara tidak langsung mencerminkan permintaan berpatutan bagi memenuhi keperluan pembangunan sebenar, di samping meniup semangat, kreativiti dan fikiran positif mereka semasa bekerja.

Video

Berita Berkaitan