Kedudukan Unik Hong Kong Beri Nilai Tambah kepada ASEAN

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 12 Oktober 2023

Ketua eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee menyifatkan kedudukan unik Hong Kong sebagai memberi nilai tambah kepada negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Kami adalah pintu masuk nilai tambah yang menghubungkan negara kami ke seluruh dunia, termasuk ASEAN," katanya dalam ucapan di Sidang Kemuncak Hong Kong-ASEAN 2023, pada Isnin.

Tegas Lee, prinsip ‘satu negara, dua sistem’ turut memberikan ketersambungan yang tiada tandingan kepada Hong Kong dengan tanah besar China dan seluruh dunia.

Menurut beliau, pada tahun lepas sahaja, perdagangan barangan bernilai kira-kira USD 79 bilion dolar antara ASEAN dan tanah besar China telah disalurkan melalui Hong Kong.

“Hong Kong menawarkan persekitaran mesra perniagaan, sistem kawal selia kewangan yang teguh, dan sistem cukai yang mudah dan rendah kepada peniaga, pelabur serta syarikat, besar, kecil dan baru bermula, semuanya berdasarkan kedaulatan undang-undang.

“Hong Kong boleh memanfaatkan kekuatannya sebagai hab perkhidmatan profesional untuk membantu negara ASEAN merealisasikan projek-projek membabitkan pengurusan bandar dan infrastruktur, logistik, reka bentuk dan kejuruteraan seni bina, timbang tara perundangan dan perdagangan serta pelbagai lagi,” kata Lee.

Beliau berkata, sejak 2010, ASEAN telah menjadi rakan dagang kedua terbesar Hong Kong, dengan perdagangan tahun lepas mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak USD 165 bilion.

Berkuatkuasa pada 2022, perjanjian RCEP melibatkan 15 negara Asia Pasifik, termasuk 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam serta lima rakan dagang mereka, iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Video

Berita Berkaitan