Inisiatif Tangani Plastik Marin Rangsang Pendapatan Penduduk Zhejiang

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 11 Disember 2023

Lebih 6,300 penduduk dan nelayan serta 10,180 kapal dan 230 syarikat di Zhejiang aktif terlibat dalam Blue Circle, sebuah inisiatif yang dilancarkan pada tahun 2020 bagi mengurangkan pencemaran sisa plastik marin. Di model pemprosesan sisa yang serba baharu itu, kira-kira 10,936 tan buangan telah dikutip dari laut setakat ini, yang 2,254 tan daripadanya ialah sisa plastik. Menurut Lang Wenrong, pengarah Jabatan Ekologi dan Persekitaran Provinsi Zhejiang, usaha tersebut telah membawa kepada berkurangnya sekitar 2,930 tan pelepasan karbon, selain penambahbaikan ketara persekitaran marin di pesisir.

Pencemaran plastik marin memberi cabaran yang signifikan kepada perlindungan ekologi laut. Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) dalam satu laporan menyifatkan sisa plastik, yang mewakili sekurang-kurangnya 85 peratus daripada keseluruhan sampah di laut, sebagai bahan yang paling berbahaya dan tidak hilang-hilang.

Zhejiang, dengan perairan laut seluas 260,000 kilometer persegi dan taburan sebanyak 4,350 pulau, berdepan cabaran dan tekanan hebat dalam usaha memperkukuh perlindungan persekitaran ekologi marin dan menangani pencemaran plastik marin.

Blue Circle merupakan program yang diperkenalkan oleh Jabatan Ekologi dan Persekitaran Provinsi Zhejiang melalui usaha sama dengan syarikat tempatan, VisionBlue Technology. Inisiatif tersebut baru-baru ini mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan penganugerahan Champions of the Earth Award bagi tahun 2023, iaitu hadiah alam sekitar tertinggi PBB. Pelaksanaannya juga telah mencetuskan kenaikan dalam harga sisa plastik laut.

Dengan mengintegrasikan teknologi digital seperti Internet benda (IoT) dan blok rantai, program Blue Circle memantau secara maya proses kitar semula dan penggunaan semula plastik marin, demikian jelas Xie Huan, pengarah Biro Ekologi dan Persekitaran Taizhou, provinsi Zhejiang.

Di daerah Luqiao, bandar Taizhou, Chen Xiafang kini menambah pendapatan dengan mengutip sampah sarap di laut.

“Pada masa lapang setiap hari, saya kutip sisa plastik di tepi pantai dan hantar ke ‘Rumah Biru Kecil’ yang membayar saya kira-kira 700 yuan sebulan,” kata nelayan berusia 74 tahun itu. “Rumah Biru Kecil” merujuk kepada sebuah pusat perawatan sampah marin yang bertanggungjawab mengitar semula dan mengisih sisa plastik marin.

Li Qiming, 54, pekerja kilang pemprosesan makanan laut, sering mengutip botol plastik di pantai apabila ada kelapangan.

Dia mampu mengutip beratus-ratus botol sehari, yang membolehkannya mengaut antara 1,000 hingga 2,000 yuan sebulan.

Pada waktu senja, Li akan membawa dua karung botol plastik ke “Rumah Biru Kecil”. Zhang Wenxiang, petugas yang bertanggungjawab menjaga lokasi, menimbang botol-botol yang diserahkan, merekodkan serahan melalui aplikasi mudah alih, dan menjana kod QR yang boleh dikesan. Selepas selesai langkah-langkah yang perlu, Zhang membayar Li untuk botol-botolnya dengan harga yang lebih tinggi berbanding sisa plastik biasa.

Harga yang tinggi ini disebabkan adanya sebuah sistem pengesanan sumber untuk partikel plastik yang dikitar semula.

Liu Jia’an, juruteknik VisionBlue Technology, menjelaskan bahawa penggunaan kaedah video dan lain-lain bukti yang boleh dikesan membolehkan pertubuhan pengiktirafan antarabangsa mengenal pasti partikel plastik daripada program Blue Circle sebagai plastik marin. Pengiktirafan inilah yang memberikan harga lebih tinggi untuk sisa plastik marin berbanding sisa plastik biasa.

Di Taizhou, Ningbo dan Zhoushan yang semuanya terletak di Zhejiang, terdapat 15 tapak pengumpulan dan penyimpanan khusus untuk sisa plastik marin. Antaranya, 11 terletak di Taizhou. Lokasi-lokasi ini penting bagi pemprosesan sisa plastik marin, kerana di sinilah bahan tersebut dihancurkan dan dimampatkan hingga isi padunya berkurang sebanyak 70 peratus, yang memudahkan pengangkutan untuk tujuan kitar semula.

Kejayaan program Blue Circle amat bergantung pada infrastruktur teknologi digital Zhejiang yang berkesan. Teknologi digital yang canggih memungkinkan pengesanan seluruh sisa plastik marin, sekali gus menjamin ketelusan sepanjang proses berkenaan.

Pengutip sisa di barisan hadapan, dilengkapi dengan perkakas yang dibangunkan oleh VisionBlue Technology, seperti perakam video, mendokumentasikan asal usul sisa plastik. Tambahan pula, pagar elektronik yang dipasang berhampiran garis pantai memastikan sisa plastik yang terlibat datangnya dari tempat yang dalam lingkungan 3 kilometer dari pantai.

Sisa plastik marin menjalani tiga peringkat dalam proses pengubahsuaian kepada partikel plastik marin yang dikitar semula, yang kemudiannya digunakan dalam penghasilan tekstil, bahan untuk membungkus, komponen kereta dan sebagainya.

Pekerja memampatkan botol-botol plastik yang telah diisih di sebuah “Rumah Biru Kecil” di daerah Jiaojiang, bandar Taizhou, provinsi Zhejiang, timur China, 17 Oktober 2023. (Xinhua/Lin Guangyao)

Pekerja memampatkan botol-botol plastik yang telah diisih di sebuah “Rumah Biru Kecil” di daerah Jiaojiang, bandar Taizhou, provinsi Zhejiang, timur China, 17 Oktober 2023. (Xinhua/Lin Guangyao)

Video

Berita Berkaitan