Hotel Haiwan Peliharaan Terima Sambutan Hangat Pada Musim Cuti

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 22 Februari 2024
Hotel Haiwan Peliharaan Terima Sambutan Hangat Pada Musim Cuti
Bilik penginapan kucing di Hotel Maotuotuo di Fangzhuang, Beijing. (Foto/China Daily)

Sekembalinya Lu Yan ke Beijing pada hujung minggu selepas menghabiskan cuti Tahun Baru Cina (TBC) selama dua minggu di kampung halamannya, perkara pertama yang dilakukannya ialah menjemput kucing peliharaannya pulang.

Dalam tempoh percutian, dia telah meninggalkan kucingnya yang berusia 3 tahun, baka British berbulu pendek berwarna putih dan kelabu, di sebuah hotel haiwan peliharaan sebelum berlepas ke Zibo di provinsi Shandong, timur China.

"Biasanya, saya atur penginapan untuk kucing jika saya perlu meninggalkan Beijing untuk lawatan kerja atau percutian yang panjang," kata Lu, yang bekerja di sebuah syarikat penerbitan.

Dia membelanjakan kira-kira RMB2,000 (USD278) semasa TBC untuk memastikan si "Seventeen", yang dinamakan sempena tarikh lahir Lu, dijaga dengan baik sepanjang ketiadaannya.

Dia gembira kerana terdapat penjaga di hotel haiwan peliharaan pada sepanjang masa untuk memantau keadaan kucing, memastikan ia selamat, dan bermain dengannya supaya tidak bosan.

Lu yang berdaftar sebagai ahli dengan syarikat yang mengendalikan hotel itu, sentiasa menempah bilik lebih besar yang mampu memuatkan dua ekor kucing, yang harganya dua kali lebih mahal daripada bilik tunggal, supaya haiwan peliharaannya mempunyai lebih banyak ruang.

TBC ialah masa yang sukar bagi pemilik haiwan seperti Lu yang memerlukan orang yang dipercayai untuk menjaga haiwan kesayangan mereka.

Bilangan haiwan peliharaan di China diunjurkan meningkat kepada hampir 200 juta pada 2023, dengan anjing, kucing dan peliharaan dalam akuarium paling popular, menurut Laporan Tahunan Industri Haiwan Kesayangan China 2023 yang dikeluarkan bersama oleh penyelidik pasaran Euromonitor International dan Asia Pet Alliance .

Jelas laporan itu lagi, pasaran haiwan peliharaan dianggarkan mencecah hampir RMB250 bilion yuan pada tahun yang sama. Perkhidmatan dan sektor berkaitan diramalkan terus berkembang.

Melayani kucing

Perkhidmatan asrama haiwan mendapat permintaan yang tinggi kerana lebih ramai pemilik sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan persekitaran yang berkualiti untuk haiwan peliharaan masing-masing.

Menurut penyedia maklumat korporat Qichacha, lebih 2,000 asrama haiwan peliharaan telah dibuka dalam tempoh tiga tahun lalu.

Ada juga yang menawarkan khidmat memantau status kesihatan haiwan, malah membenarkan haiwan berkeliaran dan bersenam setiap hari, sekali gus mengurangkan kebimbangan sesetengah pemilik.

Wang Can yang mengetuai operasi Hotel Maotuotuo di kejiranan Fangzhuang, daerah Fengtai, Beijing berkata, tempat penginapan haiwan kesayangan mereka telah ditempah sepenuhnya tiga bulan sebelum TBC.

Syarikatnya mempunyai lima tempat khusus untuk kucing. Fangzhuang mempunyai 29 bilik dalam tiga saiz berbeza, dengan harga penginapan harian untuk seekor kucing antara RMB39 hingga RMB179.

Hotel ini mempunyai lebih daripada 1,000 ahli, yang kebanyakannya lahir pada tahun 1980-an dan 1990-an. Untuk menginap di hotel mereka, Wang menegaskan bahawa kucing mesti mempunyai semua sijil vaksinasi yang diperlukan, berada dalam keadaan sihat, dan baru-baru ini diberikan ubat cacing.

"Ini untuk mengurangkan risiko ia (haiwan peliharaan) jatuh sakit," kata Wang.

Datang ke rumah

Bagi pelanggan yang tidak boleh menempah bilik, Hotel Maotuotuo turut menawarkan khidmat datang ke rumah untuk melihat keadaan haiwan peliharaan. Pada satu hari semasa TBC, mereka menerima lebih daripada 30 permintaan untuk perkhidmatan itu.

"Kami menghantar mesej kepada pelanggan sebaik sahaja kami berangkat ke rumah mereka dan merekodkan segala-galanya dari saat kami membuka pintu," kata Wang.

Perkhidmatan itu termasuk membuka tingkap untuk udara segar, membersihkan ruang kediaman kucing serta melaporkan keadaan kucing.

Video

Berita Berkaitan