Pesatnya Kembang Industri Penstriman China

Dengan lebih satu bilion pengguna video atas talian setakat pertengahan 2023, pasaran perkhidmatan penstriman video China merupakan antara yang terbesar di dunia menurut Laporan Statistik Pembangunan Internet China ke-52 terbitan Pusat Maklumat Rangkaian Internet China.

Didominasi oleh iQIYI, Youku dan Tencent Video yang mencorakkan landskap dunia penstriman video domestik, syarikat-syarikat tersebut juga mempelopori pertumbuhan pesat sektor yang sekali gus menyumbang kepada pembangunan berkualiti negara.

Pada 28 Februari, iQIYI yang sering dipanggil Netflix China, melaporkan hasil berjumlah 31.9 bilion yuan (20.8 bilion ringgit) untuk tahun fiskal 2023. Penanda aras kewangan utama iaitu jumlah hasil, keuntungan operasi, untung bersih dan keseluruhan aliran tunai bebas, semuanya mencatat rekod tertinggi.

Dimotivasikan oleh komitmen terhadap penghasilan kandungan serta capaian antarabangsa dan teknologi canggih, China berjaya mengetengahkan diri sebagai gergasi perkhidmatan penstriman video, melakar haluan masa depan hiburan di Asia dan lebih jauh lagi.

Kandungan Adalah Segala-galanya

Daripada 20 produksi terhangat iQIYI yang dikatakan ‘wajib’ ditonton, sembilan bertemakan drama kostum. Ternyatalah betapa besarnya tarikan karya zaman yang menerapkan naratif sejarah China dan elemen-elemen estetika Timur di mata penonton tempatan.

Tambahan pula, tema-tema yang menyelami gaya hidup dan trend masyarakat kontemporari semakin menarik minat penonton. Di tangga teratas carta populariti iQIYI ialah The Knockout, sebuah drama moden yang mengegarkan seluruh negara pada 2023.

Drama itu, sekali dengan tajuk-tajuk lain yang sama digemari penonton, menjana 17 juta pelanggan baharu bagi iQIYI serta melonjakkan purata bilangan pengguna harian kepada 129 juta pada suku pertama 2023, iaitu kira-kira separuh pengguna Netflix.

Maklum Gong Yu, pengasas dan ketua pegawai eksekutif iQIYI, syarikatnya merekodkan hasil purata per ahli (average revenue per membership – ARM) yang terus meningkat selama lima suku tahun berturut-turut.

“Ini menunjukkan kuatnya daya tarikan kandungan kami dan juga meningkatnya nilai perkhidmatan yang kami tawarkan kepada ahli,” kata beliau.

Tiga drama busana terbitan iQIYI popular di dalam dan luar negeri. (Foto/China Daily)

Tiga drama busana terbitan iQIYI popular di dalam dan luar negeri. (Foto/China Daily)

Pengaruh Global

Serupa dengan langkah Netflix meluaskan pengaruh di pentas global, syarikat-syarikat pelopor perkhidmatan penstriman video China juga sedang melebarkan sayap di luar sempadan negara.

Pada 2019, iQIYI dengan fokusnya untuk menghasilkan kandungan berciri Asia untuk tontonan seluruh dunia, melancarkan versi antarabangsa aplikasinya yang menawarkan ribuan episod drama tv, pertunjukan aneka ragam dan dokumentari serta lebih 500 filem kepada lebih 190 negara dan wilayah.

Tahun 2023 menyaksikan hangatnya drama China dalam kalangan penonton dan pengiklan di merata dunia. Mereka menyumbang kepada lebih separuh keseluruhan hasil iQIYI bagi tahun 2023, menurut laporan pendapatan syarikat itu.

iQIYI juga telah mengusahakan produksi original dalam bahasa-bahasa Asia Tenggara untuk pasaran tempatan dan mengedarkan terbitan berkenaan ke seluruh dunia.

Satu contoh terbaik ialah drama bahasa Melayu, Rampas Cintaku. Drama bersiri terbitan tahun 2022 itu telah menambat hati peminat sejagat dengan lebih 100 juta tontonan. iQIYI baru-baru ini menayangkan drama Malaysia itu buat julung kalinya di Tanah Besar China, menyebarkan lagi efeknya di pasaran negara sendiri.

Memandang ke hadapan, Gong berkata bahawa pada tahun 2024, syarikatnya akan terus mempromosikan drama China dan kandungan tempatan menerusi kerjasama dengan stesen televisyen Asia Tenggara, sambil mencari peluang pengewangan yang lebih pelbagai daripada IP.

iQIYI menerbitkan drama bahasa Melayu, Rampas Cintaku, yang diedarkan kepada penonton seluruh dunia, dengan lebih 100 juta tontonan. (Foto/China Daily)

iQIYI menerbitkan drama bahasa Melayu, Rampas Cintaku, yang diedarkan kepada penonton seluruh dunia, dengan lebih 100 juta tontonan. (Foto/China Daily)

Mengaplikasikan Teknologi Canggih

Sebagai industri yang dipacu kemajuan teknologi, sektor penstriman video China telah menampakkan momentum yang kuat dari segi pengaplikasian teknologi baru muncul untuk memperkasakan penghasilan kandungan dan pemasaran, sejajar usaha menambah baik pengalaman pengguna.

Misalnya, iQIYI telah meneroka teknik penghasilan secara maya dengan memanfaatkan aset digitalnya termasuk set lokasi yang diimbas secara 3D daripada produksi original, bagi menghasilkan beraneka macam kandungan daripada drama dan filem sehinggalah animasi. Menurut syarikat itu, teknologi ini digunakan untuk merakam bahagian filem melebihi 3,000 minit bagi drama busana iQIYI berjudul The Story of Mystics.

Dengan mengguna pakai teknologi Generative AI, iQIYI membolehkan pencipta kandungan menilai skrip dengan lebih baik, juga membantu pasukan pemasaran mereka bentuk video dan poster.

Teknologi digital digunakan dalam penghasilan rakaman bahagian filem selama lebih 3,000 minit untuk The Story of Mystics, sebuah drama busana terbitan iQIYI. (Foto/China Daily)

Teknologi digital digunakan dalam penghasilan rakaman bahagian filem selama lebih 3,000 minit untuk The Story of Mystics, sebuah drama busana terbitan iQIYI. (Foto/China Daily)

Video

Berita Berkaitan