Kisah Seorang Pemuda China, Berbasikal Rentas Asia Tenggara

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 15 Ogos 2024

Zhang Guangliang berbasikal merentas tujuh negara Asia Tenggara. Foto sumbangan Zhang Guangliang

Zhang Guangliang berbasikal merentas tujuh negara Asia Tenggara. Foto sumbangan Zhang Guangliang

Bak kata orang, “jauh berjalan, luas pandangan”. Begitulah seorang pemuda dari provinsi Shanxi berkongsi pengalamannya berbasikal merentas tujuh negara Asia Tenggara, semasa Persidangan Pertukaran Pembangunan Belia dan Budaya China-ASEAN pada 12 Ogos.

Pada 1 Januari tahun ini, Zhang Guangliang, anak jati Pingyao, memulakan perjalanan dengan basikal dari wilayah Guangxi di selatan China, dan mengembara lebih 8,000 kilometer selama empat bulan setengah. Kembara Zhang membawanya ke Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand, Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Selepas tamat pengajian di universiti, Zhang menceburi industri budaya dan pelancongan di Xiamen, provinsi Fujian. Dia diberikan tanggungjawab mengelola pengurusan inap desa. Sebelum mengembara ke Asia Tenggara, pemuda ini berbasikal di merata-rata negara China, hinggakan rekod perjalanannya melebihi jarak 60,000 kilometer.

“Sekiranya mahu memahami orang lain, kita mestilah terlebih dahulu memahami diri,” ujar Zhang.

“Sebelum pergi ke luar negara, kita mesti meneroka kampung halaman sendiri. Ketika berbasikal di sepanjang sempadan barat daya China, semasa berdiri di sempadan dengan Myanmar, Laos dan Vietnam, timbul minat dalam diri saya untuk mengetahui adat resam dan tradisi negara-negara jiran, dan juga kehidupan orang di sebelah sana garis sempadan.”

Zhang Guangliang bergambar di sempadan negara-negara yang dilawati dalam kembara berbasikalnya. Foto sumbangan Zhang Guangliang

Zhang Guangliang bergambar di sempadan negara-negara yang dilawati dalam kembara berbasikalnya. Foto sumbangan Zhang Guangliang

Pada pandangan pengembara ini, “guomen” atau “pintu gerbang” sesebuah negara itu adalah imejnya. Setiap kali Zhang melalui pos pemeriksaan kastam, pintu gerbang negara itu menimbulkan perasaan yang berbeza.

“Pintu gerbang Vietnam tersergam megah. Pintu gerbang Kemboja, Laos dan Thailand dihiasi warna-warna (yang melambangkan) faham Buddha. Pintu gerbang Malaysia pula bergaya Islam, manakala pintu gerbang Singapura dan Indonesia mempunyai persamaan. (Pos pemeriksaan) kastam merupakan pintu sempadan negara, yang mencerminkan ciri-ciri negara pulau tersendiri.”

Yang paling meninggalkan impresi pada diri Zhang dalam kembaranya di Asia Tenggara ialah pemandangan semula jadi dan juga landskap budaya yang disaksikan.

“Saya pernah belajar dari buku sejarah bahawa orang Jawa ialah bangsa manusia purba yang sejarahnya sudah lebih 700,000 tahun. Sewaktu di Indonesia, saya pergi melawat runtuhan-runtuhan lama tamadun Jawa. Berjalan-jalan di Angkor Wat di Kemboja, dan menjejak kaki ke Bukit Cina di Malaysia yang dinamakan sempena Zheng He (Cheng Ho), saya dapat menghayati betapa dalamnya persahabatan antara China dengan negara-negara Asia Tenggara.”

Zhang Guangliang bergambar bersama orang tempatan semasa kembara berbasikal di Asia Tenggara. Foto sumbangan Zhang Guangliang

Zhang Guangliang bergambar bersama orang tempatan semasa kembara berbasikal di Asia Tenggara. Foto sumbangan Zhang Guangliang

Setiap kali melihat semula gambar-gambar yang diambil semasa di Asia Tenggara, Zhang akan terkenang kembali kisah-kisah yang berlaku sepanjang perjalanan, serta persahabatan yang dijalin dengan orang tempatan, yang semuanya terpahat di hati. Menerusi platform media sosial, Zhang berkongsi panorama semula jadi dan landskap budaya yang disaksikan, bahkan persepsi peribadinya mengenai negara-negara Asia Tenggara, dengan khalayak di China.

“Pada masa akan datang, saya berharap ada peluang untuk melawat lebih banyak negara Asia Tenggara, menjadi duta bagi pertukaran antara China dengan negara-negara Asia Tenggara, serta membantu meningkatkan persefahaman dan menyuburkan rasa muhibah antara kedua-dua belah.”

Pada 11 hingga 15 Ogos, bandar Changzhi di provinsi Shanxi menjadi tuan rumah Minggu China-ASEAN 2024. Dalam tempoh ini, Pusat China-ASEAN bersama-sama kerajaan provinsi Shanxi menganjurkan Persidangan Pertukaran Pembangunan Belia dan Budaya China-ASEAN. Acara itu mengundang kehadiran lebih 100 pakar industri budaya dan pelancongan serta syarikat dan wakil belia dari China dan ASEAN untuk berkumpul bagi meneroka kerjasama dan pertukaran dalam bidang tersebut.

Video

Berita Berkaitan