Indonesia, China Umum Logo Sambutan 75 Tahun Hubungan Bilateral

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 08 Januari 2025
Indonesia, China Umum Logo Sambutan 75 Tahun Hubungan Bilateral
Diplomat dari Indonesia dan China mengumumkan logo bagi memperingati ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara di Jakarta, 7 Januari 2025. (Xinhua/Agung Kuncahya B.)

Diplomat dari Indonesia dan China pada Selasa lalu mengumumkan logo bagi memperingati ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Logo tersebut merupakan hasil ciptaan seorang belia Indonesia yang menang pertandingan rekaan anjuran bersama kedutaan China di Jakarta, kedutaan Indonesia di Beijing dan Komuniti Dasar Luar Indonesia (FPCI).

“Kami gembira melihat pereka dan penggemar seni dari kedua-dua negara aktif menyertai pertandingan rekaan ini, dengan lebih 600 penyertaan dari Indonesia sahaja. Setiap peserta dengan mahirnya menggabungkan hubungan dalam sejarah, pencapaian kerjasama dan visi bersama untuk masa depan lebih cerah buat China dan Indonesia,” kata Duta Besar China ke Indonesia Wang Lutong pada majlis pengumuman logo di China Space dalam Masjid Istiqlal, Jakarta.

Duta Besar Indonesia ke China Djauhari Oratmangun memuji pertandingan itu kerana memperlihatkan ikatan dua negara yang kuat dan bertahan lama.

“Kolaborasi dua hala ini terus memberikan faedah kepada rakyat Indonesia,” ujarnya, sambil menekankan pentingnya hubungan diperkukuh dalam aspek keselamatan, ekonomi dan pertukaran orang ke orang.

Dino Patti Djalal, pengasas dan pengerusi FPCI yang juga mantan diplomat Indonesia, menzahirkan rasa optimistik terhadap perkembangan lanjut hubungan Indonesia-China.

Ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik ini bukan sahaja suatu batu tanda dalam persahabatan, malahan akan meletakkan asas yang kukuh untuk perkembangan lanjut kerjasama dua hala, katanya lagi.

Indonesia dan China menjalin hubungan diplomatik pada 13 April 1950.

Logo bagi memperingati ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara China dengan Indonesia dipamerkan di Jakarta, 7 Januari 2025. (Xinhua/Agung Kuncahya B.)

Video

Berita Berkaitan