Kerjasama Malaysia-China Bawa Situasi Sama Menang: Rafizi

(CRI)Isnin 20 Januari 2025

Kerjasama kukuh dengan China akan membantu Malaysia mencapai matlamat jangka panjang untuk memacu pembangunan ekonomi melalui inovasi teknologi.

Demikian menurut Menteri Ekonomi Malaysia Datuk Seri Rafizi Ramli dalam temu bual eksklusif dengan Agensi Berita Xinhua baru-baru ini.

"Pada beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia dan China terus-menerus melakar kemajuan dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan, dan kami menantikan peluang kerjasama lebih luas pada masa hadapan," kata Rafizi.

Beliau menyatakan kerjasama antara Malaysia dengan China membawa kepada situasi sama menang.

Dalam tempoh lebih sedekad lalu, syarikat China terus meningkatkan pelaburan dan mengembangkan sayap mereka di Malaysia. Hal ini bukan sahaja membawa keuntungan kepada syarikat terlibat, tetapi juga memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Ujarnya, kini kedua-dua negara mempunyai peluang terbaik dalam memacu pembangunan bersama melalui kerjasama. Justeru, Malaysia perlu memperkasakan kerjasama dengan China dan menarik lebih banyak pelaburan dari negara Tembok Besar.

China merupakan antara sumber pelaburan asing utama bagi Malaysia. Usaha mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pelaburan akan membantu meningkatkan kedudukan kedua-dua negara dalam rantaian perindustrian dan bekalan global.

Rafizi berkata kelebihan teknologi China dalam bidang transformasi tenaga dan kenderaan elektrik menyediakan peluang yang cukup berharga kepada Malaysia untuk mendapatkan pengalaman dan kepakaran.

"Seiring usaha Malaysia ke arah membina infrastruktur tenaga mampan, kita perlu membangunkan penyimpanan tenaga dan menaik taraf rangkaian kuasa. Pengalaman China akan memberi sokongan kukuh kepada Malaysia," kata beliau.

Video

Berita Berkaitan