- Lain-lain
China, Kyrgyzstan Komited Perkukuh Usaha Sama BRI (7)
China dan Kyrgyzstan komited untuk terus memperhebat usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) sehingga membuahkan lebih banyak hasil yang saling menguntungkan.
Komitmen itu dizahirkan ketika Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Kyrgyzstan Sadyr Japarov mengadakan perbincangan di Beijing pada Rabu.
Xi berkata China bersedia untuk memperluas kerjasama dengan Kyrgyzstan dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan selain mengimport lebih banyak barangan berkualiti dari negara Asia Tengah itu.
China menyokong lebih banyak syarikat domestik melabur dan mengembangkan perniagaan di Kyrgyzstan, kata beliau sambil menyuarakan harapan agar hak dan kepentingan sah pelabur China dapat dilindungi di negara berkenaan.
Menyebut tentang aspek ketersambungan, Xi memberi penekanan kepada pembinaan rel China-Kyrgyzstan-Uzbekistan secara berstandard dan berkualiti tinggi, pengubahsuaian dan pemodenan pelabuhan sedia ada serta pembukaan lebih banyak penerbangan penumpang dan kargo.
Xi menyeru kedua-dua pihak untuk mewujudkan pemacu baharu pertumbuhan dengan memperluas kerjasama dalam e-dagang rentas sempadan, data raya dan kecerdasan buatan (AI).
Dua negara harus mengelola Pusat Kebudayaan China, Bengkel Luban dan Institut Confucius dengan baik serta mengukuhkan pertukaran di peringkat setempat, tambah beliau.
Sementara itu, Japarov menyatakan kesediaan Kyrgyzstan memperkukuh kolaborasi dengan China untuk meraih lebih banyak kemajuan dalam Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan mekanisme China-Asia Tengah, selain terus menyumbang kepada keamanan rantau dan dunia.