Wang Yi Lawat UK dan Ireland, Hadir MSC

(CRI)Selasa 11 Februari 2025

Menteri Luar China Wang Yi akan membuat lawatan ke United Kingdom (UK) dan mempengerusikan bersama Dialog Strategik China-UK edisi ke-10, serta melawat Ireland dan menghadiri Persidangan Keselamatan Munich (MSC) ke-61 di Jerman pada 12 hingga 17 Februari.

Perkara itu diumumkan jurucakap Kementerian Luar Guo Jiakun dalam sidang media di Beijing pada Isnin.

Di MSC, Wang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) akan berucap pada satu sesi khas untuk berkongsi pendirian China mengenai isu-isu utama antarabangsa.

Lawatan berkenaan adalah atas jemputan Setiausaha Luar UK David Lammy, Timbalan Perdana Menteri (Tánaiste) merangkap Menteri Luar Negeri dan Perdagangan Ireland Simon Harris, serta pengerusi MSC Christoph Heusgen.

Sebagai pengerusi bergilir Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Februari, China akan menganjurkan mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan di New York pada 18 Februari dengan tema 'Practicing Multilateralism, Reforming and Improving Global Governance'.

Jurucakap itu memaklumkan mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Wang Yi.

Wang juga dijadual menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg pada 20 hingga 21 Februari atas jemputan Menteri Luar Afrika Selatan Ronald Lamola.

Video

Berita Berkaitan