AWG Suntik Dorongan Buat Pelancongan Ais dan Salji di Harbin

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 12 Februari 2025

Pelancong berswafoto di Taman Dunia Ais dan Salji Harbin di Provinsi Heilongjiang pada 9 Februari 2025. (Xinhua/Hou Jun)

Pelancong berswafoto di Taman Dunia Ais dan Salji Harbin di Provinsi Heilongjiang pada 9 Februari 2025. (Xinhua/Hou Jun)

Sukan Asia Musim Sejuk (AWG) ke-9 yang sedang berlangsung di Harbin, Provinsi Heilongjiang di timur laut China telah menyaksikan berlakunya peningkatan dalam pelancongan dan penggunaan di bandar itu.

Difahamkan, terdapat banyak kedai dagangan berlesen di kawasan pelancong yang dibanjiri oleh kedatangan pelawat yang teruja untuk membeli cenderahati, dengan barangan seperti magnet peti sejuk, setem peringatan, dan anak patung telah menjadi pilihan utama serta laris dijual.

Pelanggan sedang memilih cenderahati di sebuah kedai dagangan rasmi di pusat media utama AWG 2025 di Harbin, Provinsi Heilongjiang pada 5 Februari. (Foto Xinhua)

Pelanggan sedang memilih cenderahati di sebuah kedai dagangan rasmi di pusat media utama AWG 2025 di Harbin, Provinsi Heilongjiang pada 5 Februari. (Foto Xinhua)

Menurut laporan, terdapat lebih daripada 200 kedai dagangan berlesen yang bertapak di AWG 2025.

Antara produk yang menampilkan kelainan adalah buku tiga dimensi yang dijual dalam kuantiti yang terhad. Buku tersebut memaparkan landskap bandar Harbin, sejarah, budaya dan elemen lain. Dengan reka bentuk yang inovatif, pembaca boleh menerokai keindahan Harbin menerusi visual penuh menawan.

Berapa produk kebudayaan kreatif yang dihasilkan sempena AWG 2025 turut boleh digunakan dalam kehidupan seharian orang ramai. Sebagai contoh, topi yang menampilkan maskot rasmi AWG 2025 iaitu ‘Nini’ telah dilengkapi dengan teknologi pemanas grafena, sekali gus membolehkan pengguna berasa selesa tatkala berada dalam iklim Harbin yang sejuk.

Pada masa sama, perkampungan di Harbin juga telah menerima kesan limpahan daripada penganjuran AWG 2025 dengan ledakan pelancongan ais dan salji.

Kampung Qingshan yang terletak di pekan Yabuli, iaitu sekitar 200 kilometer dari Harbin, merupakan kampung terdekat dengan peranginan ski Yabuli – hos kepada acara salji AWG.

Sebaik memasuki kampung itu, pelawat akan disambut dengan pagar bercat di sepanjang jalan raya, manakala halaman kampung pula dihiasi dengan tanglung merah yang tergantung di sepanjang jalan.

Bagi membuat persiapan AWG, kampung Qingshan telah mula menambah baik persekitarannya sejak tahun lalu, dengan lebih 120 daripada 300 isi rumah yang terlibat dalam perniagaan berkaitan pelancongan dan ski.

Pemilik premis hiburan pertanian di kampung Qingshan, Song Wenli berkata terdapat lebih daripada 100 fasiliti jenis tersebut di kampung itu.

Terdahulu, penduduk tempatan di situ hanya bergantung kepada aktiviti pertanian untuk menyara hidup. Namun, mereka yang kini mengoperasikan fasiliti hiburan pertanian, restoran dan pelbagai perniagaan lain telah berjaya menjana pendapatan yang lebih banyak.

Dengan pertumbuhan daripada pelancongan ais dan salji, hampir semua orang di kampung Qingshan telah menikmati hasil daripada ledakan pelancongan, dengan purata pendapatan tahunan sekitar RMB35,000 (AS$4,789.54) seorang.

Kebangkitan semula kampung Qingshan secara tidak langsung mencerminkan kemajuan yang lebih luas terhadap pekan Yabuli. Menjadi tuan rumah kepada AWG 2025 sudah tentu memberikan dorongan tambahan terhadap pelancongan ais dan salji yang mekar berkembang di Yabuli.

Video

Berita Berkaitan