- Lain-lain
Patung Figura Filem Animasi ‘Ne Zha 2’ Laris Dijual
“Kami tidak menang tangan sejak memulakan pengeluaran patung figura filem animasi blokbuster China, ‘Ne Zha 2’,” ujar Yang Zhenlin, penolong pengerusi syarikat Hunan Sunny & Sandy Toys Manufacturer di bengkel penghasilan yang terletak di Zon Berikat Komprehensif Xiangtan, di Provinsi Hunan, tengah China.
Foto menunjukkan patung figura bertemakan Ne Zha. (People’s Daily Online/Liu Shan)
Di bengkel tersebut, para pekerja dilihat tangkas menyambungkan bahagian acuan di barisan pengeluaran. Satu patung figura Ne Zha boleh disiapkan dalam tempoh kurang daripada 20 minit.
Selaku pengilang rasmi eksklusif produk Ne Zha, Sunny & Sandy telah membekalkan lebih daripada 80,000 set kotak misteri bertemakan filem animasi tersebut sebelum ia mula ditayangkan pada 29 Januari, iaitu hari pertama Tahun Baru Cina.
Pada hari ketiga filem itu ditayangkan, kotak misteri itu telah laris dijual, sekali gus menyaksikan pekerja di syarikat itu menyambung semula pengeluaran produk peranti persisian tiga hari lebih awal daripada yang dijadualkan.
Pekerja sedang sibuk menghasilkan patung figura bertemakan Ne Zha. (People’s Daily Online/Liu Shan)
“Lima pangkalan penghasilan kami di serata negara mengoperasikan 40 barisan pengeluaran, dengan 60 peratus daripadanya diperuntukkan bagi pembuatan produk peranti persisian filem itu.
“Kami boleh mengeluarkan 500,000 patung figura setiap hari, yang separuh daripadanya berdasarkan karakter Ne Zha,” ujar Yang.
Tambahnya, output harian syarikat itu juga melebihi RMB3 juta (sekitar AS$410,450), dengan dua bulan pesanan tertunggak.
Patung figura bertemakan Ne Zha telah mendapat sambutan secara dalam talian dan juga fizikal. Di kedai dalam talian rasmi Sunny & Sandy dalam platform Douyin, satu set figura patung yang mengandungi enam patung itu dijual pada harga RMB69. Ketika ini, kedai tersebut telah menjual 530,000 set figura patung Ne Zha melalui penstriman langsung.
Menurut Yang, pesanan bagi produk peranti persisian yang diterima syarikat tersebut telah mencapai RMB200 juta ketika ini, dan kini sedang berunding untuk mengeksport kotak misteri itu.
Foto menunjukkan kotak misteri patung figura bertemakan Ne Zha. (People’s Daily Online/Liu Shan)
Seorang pekerja sedang bekerja di barisan pengeluaran patung figura Ne Zha. (People’s Daily Online/Liu Shan)
Para pekerja sedang membungkus patung figura bertemakan Ne Zha. (People’s Daily Online/Liu Shan)