Wayang Bayang Tradisional Hidup Semula di Sichuan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 24 Februari 2025
Wayang Bayang Tradisional Hidup Semula di Sichuan
Foto bertarikh 18 Februari 2025 ini menunjukkan sebuah boneka bayang yang dipamerkan di muzium seni Wayang Bayang Wang di bandar Langzhong, provinsi Sichuan, barat daya China. (Xinhua/Shen Bohan)

Wayang bayang, juga dipanggil seni pertunjukan boneka bayang, ialah sejenis budaya rakyat China yang telah mendapat pengiktirafan sebagai warisan budaya kemanusiaan UNESCO pada 2011. Wayang Bayang Wang merupakan satu contoh unggul bagi genre Wayang Bayang Langzhong yang popular di Sichuan, yang telah diturunkan dari generasi ke generasi sejak dicipta oleh Wang Yuansheng pada Dinasti Qing (1644-1911).

Wang Biao, 60 tahun, pewaris generasi ke-7 Wayang Bayang Wang, telah menjadikan pemeliharaan dan promosi seni tradisional ini sebagai misi hidupnya.

Bergurukan datuknya seawal zaman kanak-kanak lagi, Wang Biao menemani gurunya itu membuat persembahan di merata-rata negara sepanjang tahun 80-an. Pada tahun 2000, Wang menghidupkan semula rombongan wayang bayangnya di Chengdu meskipun seni ini sudah kurang mendapat sambutan. Dia mula membuat persembahan di taman dan sekolah.

Pada 2004, Wang membawa rombongannya ke pekan purba Langzhong. Di sana, dia menggubah lebih banyak drama yang inovatif, yang disambut baik oleh penonton. Untuk mempopularkan lagi seni tradisional ini, rombongannya melawat ke lebih 30 negara dan wilayah, malahan ahli rombongan juga bekerja rapat dengan sekolah drama dan kolej untuk menawarkan kursus mengenai seni wayang bayang.

Pada 2018, Wang mengetuai usaha untuk menubuhkan sebuah muzium seni Wayang Bayang Wang, yang menghimpunkan lebih 50,000 boneka bayang dan beberapa ratus naskhah skrip wayang bayang kuno. Muzium tersebut dibuka sepanjang tahun, dan menerima kedatangan puluhan ribu pengunjung.

Video