- Lain-lain
Kaunti Kecil di Jiangxi Jadi Penjana Biliard Global
Kejuaraan Terbuka Dunia Snuker 2025 telah berlangsung di kaunti Yushan bermula dari penghujung Februari hingga awal Mac, menarik ramai pemain terkemuka termasuk Ding Junhui, Judd Trump dan John Higgins untuk ke hab biliard baru muncul di Provinsi Jiangxi itu.
Pertandingan itu turut mencuri tumpuan peminat biliard global, sekali gus mengukuhkan reputasi Yushan dalam komuniti sukan tersebut di persada antarabangsa.
Orang ramai bermain biliard di jalanan di kaunti Yushan, Provinsi Jiangxi, timur China. (Foto/Beijing Daily)
Yushan, kaunti kecil yang terletak di dalam bandar Shangrao provinsi itu pada dahulunya hanya mempunyai pertalian yang kecil dengan sukan tersebut.
Namun, hari ini ia mempunyai lebih daripada 200 kelab biliard, dan telah membangunkan industri biliard yang lengkap, dan sering menganjurkan pertandingan antarabangsa dan domestik yang utama.
Syarikat Beijing XIngpaiweiye Sports Good yang ditubuhkan pada 1980-an pada asalnya bergantung kepada bidur import untuk menghasilkan meja berkualiti tinggi dengan setiap satunya mencecah harga sehingga AS$2,000.
Dalam mencari alternatif yang lebih murah, syarikat itu telah menemui bahan yang ideal di pekan Zhangcun, satu batu biru yang terkenal dengan keanjalannya, serap air, tahan lama dan anti-statik. Kawasan itu juga sinonim dengan rizab batu birunya dengan anggaran sekitar 3 bilion meter padu.
Dengan sokongan kerajaan, syarikat itu telah mendirikan satu kilang batu loh meja biliard, menyaksikan produk terjual di seluruh negara dan dieksport ke lebih 70 negara dan wilayah, termasuk United Kingdom dan Itali.
Kaunti tersebut menghasilkan 250,000 batu loh biliard dan 50,000 meja biliard setiap tahun, secara tidak langsung menjana lebih RMB1.5 bilion (AS$206 juta) dalam nilai output.
Pada 2015, Yushan menjadi tuan rumah kepada Kejuaraan Dunia Biliard China yang pertama, menarik kehadiran lebih daripada 300 pemain dari hampir 30 negara dan wilayah. Pada tahun seterusnya, Terbuka Dunia Snuker telah diadakan di Yushan, sekali gus memperkuat lagi reputasi kaunti itu sebagai hab biliard.
Sejak 2015, Yushan telah menganjurkan enam sesi Kejuaraan Dunia Biliard China dan enam sesi Terbuka Dunia Snuker. Acara-acara tersebut telah mendorong kepada kesan limpahan yang menyaksikan pembukaan lebih 600 hotel, mewujudkan lebih daripada 60,000 peluang pekerjaan dalam sektor pelancongan tempatan.
Pusat Sukan Yushan – stadium moden pertama yang memfokuskan kepada sukan itu telah mula beroperasi pada 2019. Manakala, Akademi Biliard Antarabangsa Yushan pula ditubuhkan pada 2021, melancarkan program perekrutan rasmi untuk membangunkan bakat biliard bagi generasi yang seterusnya. Pada 2024, Muzium Biliard Dunia dan World Biliard Hall of Fame telah diwujudkan di Yushan.
Semasa hari pembukaan Terbuka Dunia Snuker 2025, Xing Zihao, 20, seorang lulusan Akademi Biliard Antarabangsa Yushan telah bertembung dengan Judd Trump. Meskipun tewas di tangan pemain England itu, peluang Xing untuk melawan seorang pemain bertaraf dunia telah memberikannya pengalaman yang tidak ternilai.
Zhong Yujie, perempuan muda dari Yushan yang menonton dari tepi gelanggang telah berkesempatan untuk merakam detik-detik istimewa tersebut dari lensa kameranya. Pada 2021, Zhong yang berusia hanya 15 tahun ketika itu telah melawat akademi yang baru ditubuhkan tersebut, dan jatuh cinta pada sukan biliard, seterusnya mengikuti kelas yang dianjurkan.
“Saya mula menonton kejuaraan biliard China semasa masih kecil. Saya tidak faham tentang banyak perkara, tetapi suasananya sangat mengujakan. Fasiliti akademi itu dan jurulatih pakar telah menarik tumpuan saya,” ujarnya.
Sebilangan besar rakan sekelasnya di akademi itu mempunyai latar belakang dalam biliard, manakala Zhong pula bermula dari asas.
“Saya akan sering berlatih sehingga bilik biliard ditutup, dan kadang kala saya akan menangis akibat kekecewaan,” kongsinya lagi.
Ketika berumur 16 tahun, usaha dedikasi Zhong akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya menjadi pemain wanita pertama dari akademi itu yang telah memasuki ranking 16 teratas dalam biliard wanita China. Setelah tamat pengajian, dia kekal di akademi itu sebagai pembantu jurulatih dan mendapat pensijilan pengadil.
Pada pembukaan Terbuka Dunia Snuker 2025, Liu Yangbong, juara pertandingan biliard ‘Village Cue League’ Jiangxi 2025, telah membuat kemunculan istimewa sebagai tetamu bersama-sama pemain profesional lain.
Di Yushan, bilik biliard boleh didapati di merata-rata tempat. Bagi mempromosi kecergasan melalui sukan itu, kaunti Yushan telah melancarkan kejohanan biliard ‘Village Cue League’ yang diinspirasikan daripada ‘Village Super League’, iaitu kejohanan bola sepak kampung di Provinsi Guizhou.
Untuk rekod, ‘Village Cue League’ yang pertama pada 2024 telah menarik hampir 1,000 peserta dari 40 kampung di Yushan. Semasa Tahun Baru Cina 2025, edisi kedua pertandingan itu telah berkembang secara signifikan, dengan menarik lebih daripada 5,000 peserta dan lebih daripada 100,000 penonton.