China dan Britain Komited Tegakkan Sistem Perdagangan Multilateral

(CRI)Rabu 23 April 2025

China dan Britain memikul tanggungjawab bersama untuk menegakkan orde antarabangsa yang dibentuk selepas Perang Dunia II, memelihara sistem antarabangsa dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai terasnya dan sistem perdagangan multilateral, dalam konteks semasa dimana tindakan buli unilateral berlaku secara berleluasa ketika ini.

Demikian kata Menteri Luar China, Wang Yi menerusi perbualan telefon dengan Setiausaha Luar Britain, David Lammy pada Selasa.

Wang berkata, dialog antara China dengan Britain dalam bidang ekonomi dan kewangan, strategik serta tenaga telah diadakan dengan jayanya sejak awal tahun ini, manakala persiapan sedang dijalankan bagi sesi dialog kedua-dua pihak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi, perubahan iklim, pendidikan, serta kerjasama ekonomi dan perdagangan.

"Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menjadikan tarif sebagai senjata untuk melancarkan serangan terhadap pelbagai negara telah menjejaskan hak dan kepentingan mereka.

"Sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, China menolak secara terbuka tindakan AS tersebut.

"Ini bukan sahaja untuk menjaga hak dan kepentingan negara sendiri, tetapi juga untuk menegakkan peraturan antarabangsa dan sistem perdagangan pelbagai hala.

"China akan terus meningkatkan tahap keterbukaan, memperkasakan kerjasama yang sama untung dan sama menang dengan semua negara, dan berkongsi peluang pembangunan dengan dunia," kata Wang.

Sementara itu Lammy berkata, Britain sentiasa merupakan negara yang terbuka.

"Britain menyokong dengan tegas perdagangan bebas dan berusaha untuk memelihara sistem perdagangan pelbagai hala yang berpusatkan WTO.

"Sebagai dua anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, Britain dan China memikul tanggungjawab penting untuk memastikan pembangunan mampan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa, dan Britain bersedia mengekalkan komunikasi dengan China dalam isu ini," kata Lammy.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai krisis Ukraine dan topik lain yang menjadi kepentingan bersama.

Video

Berita Berkaitan