- Lain-lain
Bunga Mawar di Xinjiang Jadi Benteng Pasir, Lonjak Mata Pencarian
Foto memperlihatkan bunga mawar yang berkembang di kaunti Yutian, Hotan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China.
Pada 15 April, kawasan kawalan padang pasir di perbandaran Aral, kaunti Yutian yang terletak di pinggir selatan Padang Pasir Taklimakan di kawasan Hotan, Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China, berbaris-baris anak benih bunga mawar ditanam pada penghadang pasir berupa grid.
Dahulunya hanya lautan gumuk berwarna kelabu-kuning, kini ia telah memperlihatkan tanda-tanda subur dan penuh harapan, dengan terdapatnya petak-petak tanah yang kecil dan hijau.
“Adakah bunga mawar mampu bertumbuh di padang pasir?” Soalan tersebut, yang lazim bagi pelawat yang penuh dengan sifat ingin tahu, kini bukan lagi satu keraguan. Jawapannya adalah, sudah tentu boleh.
Yutian, yang dikelilingi oleh cenuram utara Gunung Kunlun, terkenal dengan iklimnya yang ekstrim, dan sinaran mentari yang mencurah-curah. Tanpa dijangka-jangka, keadaan tersebut sesuai untuk memupuk varieti tertentu bunga mawar.
Untuk rekod, kawasan itu mempunyai sejarah yang berakar umbi dalam pemupukan bunga mawar.
Pada masa dahulu, bunga-bunga tersebut amnya digunakan untuk tujuan hiasan atau ditransformasi menjadi wangian jem mawar. Tetapi, pada tahun-tahun mutakhir ini, fokus tersebut telah teralih kepada peranannya yang lebih praktikal iaitu dalam usaha mencegah penggurunan.
“Kami penduduk tempatan sentiasa tahu yang bunga mawar membantu dalam menstabilkan tanah,” ujar Maitusun Yibulayimu, seorang penduduk di kampung Wanfang di perbandaran Aral, sambil menunjukkan kedalaman akar bunga mawar sehingga tiga meter.
Dikenali sebagai ‘bunga mawar padang pasir Yutian’, varieti istimewa ini telah secara unik mengadaptasi keadaan di padang pasir dan seterusnya berkembang mekar. Dengan keupayaannya yang kalis kemarau dan kemasinan, ia mempunyai sistem akar yang kuat dan dedaun yang banyak.
Dalam tempoh dua ke tiga tahun, pokok bunga mawar yang rimbun boleh membesar sehingga dua ke tiga meter lebar, sekali gus menstabilkan gumuk pasir dan mengelakkan daripada berlakunya hakisan tanah.
Seorang penduduk tempatan sedang memetik bunga mawar.
Menurut biro padang rumput dan perhutanan tempatan, Yutian telah berjaya mewujudkan jalur pelindung bunga mawar di kawasan yang paling banyak terkesan dengan ribut pasir. Bunga mawar yang ditanam secara rapat dikatakan akan mengurangkan kelajuan angin, secara tidak langsung membantu meminimumkan tanah yang ditiup angin daripada memasuki kawasan dalam.
Bagaimanapun, menanam ros di kawasan padang pasir pastinya mustahil tanpa cabaran. Dengan sumber air yang jarang didapati dan kadar hujan yang sedikit, tumbuhan itu menghadapi ancaman untuk terus tertimbus di dalam pasir.
Bagi mengatasi isu tersebut, pihak berkuasa tempatan telah berkolaborasi dengan penyelidik untuk membangunkan strategi penanaman berasaskan sains, khusus untuk keadaan unik kawasan tersebut, termasuk pembahagian tanah, pola angin dan faktor hidrologi.
Selain daripada pendekatan yang ditunjangi penyelidikan itu, Yutian juga telah menjadi pendahulu dalam model penanaman baharu yang menggabungkan pokok dan pokok renek. Dalam sistem tersebut, pokok-pokok yang tinggi akan menjadi penghadang pelindung angin di bahagian sudut padang pasir, melindungi bunga mawar daripada ribut pasir yang paling buruk.
Manakala, akar pokok renek dan bunga mawar yang berjalin pula membantu untuk menstabilkan tanah dan menambah baik struktur, sekali gus menjadikan persekitaran yang lebih sesuai bagi bunga mawar tersebut dan meningkatkan kadar kelangsungan yang lebih tinggi.
Bagi Maitusun, manfaat kewangan yang diperoleh daripada pemupukan bunga mawar sangat jelas kelihatan.
“Pada tahun lepas, keluarga saya mendapat lebihan RMB63,000 (AS$8,634) dengan hanya menanam bunga mawar,” katanya sambil memberitahu bahawa kerajaan turut memberikan subsidi kepada pengusaha.
Didorong oleh persekitaran padang pasir nan menghijau, keluarganya telah memajak 50 mu (sekitar 3.33 hektar) tanah untuk mengembangkan penghasilan bunga mawar, yang disifatkannya sebagai menjana pendapatan dan membantu dalam pencegahan penggurunan – satu usaha yang dia banggakan.
Seorang juruteknik memberi panduan kepada seorang petani untuk menanam bungna mawar.
Hari ini, industri bunga mawar Yutian telah bermekaran menjadi sektor ekonomi yang berkembang maju, sekali gus membentuk rantai perindustrian yang lebih berintegrasi dan pelbagai.
Bunga mawar yang dituai segar akan diproses dalam tempoh 12 jam menjadi minyak pati, iaitu produk yang paling didambakan pengguna. Lebih daripada 30 produk berasaskan bunga mawar termasuk hidrosol, teh mawar dan komestik kini telah dijual di serata China, manakala platform e-dagang dan penstriman langsung telah membantu meningkatkan pertumbuhan jualan dari tahun ke tahun.
Ketika ini, bunga mawar dari tanah nan gersang ini telah mencapai pasaran yang jauh dan luas.
Kaunti tersebut turut memanfaatkan kebangkitan ekopelancongan, dengan menggabungkan pemupukan bunga mawar ke dalam usaha pelandskapan luar bandar, secara tidak langsung menghasilkan lebih banyak visual yang menarik buat kawasan desa dan beberapa tarikan baharu ekopelancongan.
Difahamkan, skala pemupukan bunga mawar di Yutian telah bertumbuh stabil, dengan hampir 80,000 mu (sekitar 5,333 hektar) di bawah pemupukan hari ini. Pada 2024, kaunti tersebut telah menghasilkan lebih daripada 12,000 tan bunga mawar, dengan nilai hasil purata sebanyak RMB3,975 setiap mu. Malah, industri yang berkembang itu telah meningkatkan pendapatan buat 4,238 isi rumah.
“Menanam bunga mawar di padang pasir telah memberikan manfaat sebenar buat rakyat,” ujar Jia Cunpeng, ketua Parti bagi biro padang rumput dan perhutanan kaunti Yutian.
Tambahnya, dengan semakin ramai penduduk melihat sendiri pulangan yang diterima, semua orang lebih bermotivasi untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha perlindungan penggurunan.
- Tasik Ulungur di Xinjiang Mula Nyahsejuk Beku
- Saintis Sumbang Transformasi Gurun Kepada Oasis, Dorong Ekonomi Luar Bandar di Xinjiang
- Anak Gembala Capai Impian Jadi Juruterbang
- Tular! Klip Pertunjukan Kostum Pemudi Xinjiang
- Laluan Penerbangan Pengangkutan Kargo Urumqi-Islamabad Mula Beroperasi
- Xinjiang Buka Laluan Penerbangan Berjadual Pertama ke Malaysia
- Xinjiang Buka Penerbangan Antarabangsa ke Malaysia
- Ketibaan Pelancong Rentas Sempadan di Xinjiang Lebih 100 Juta Orang
- Tiga “Mama” Zhejiang, Seorang Anak Uygur
- Prestasi Pembangunan Xinjiang Cemerlang