Guangdong Percepat Pembangunan Industri Eksport Kenderaan Pra-Milik

Kenderaan pra-milik dimuatkan ke dalam sebuah kapal untuk dieksport.

Kenderaan pra-milik dimuatkan ke dalam sebuah kapal untuk dieksport.

Di Terminal Automobil Nansha Pelabuhan Guangzhou di Provinsi Guangdong, selatan China, Xu Xiaoqing selaku timbalan pengurus besar Syarikat Global-Ucar Technology (Global-Ucar), iaitu pemain utama dalam perniagaan eksport auto terpakai, telah meneliti satu persatu kenderaan pra-milik, melaksanakan pemeriksaan terakhir bersama-sama pasukannya.

“Kesemua kenderaan ini akan menuju ke Dubai di Emiriah Arab Bersatu,” ujarnya sambil memerhati ke arah laut, jalan keluar pelabuhan itu.

Meliputi kawasan seluas lebih 1.6 juta meter persegi, Terminal Autombil Nansha adalah fasiliti pelabuhan kapal ro-ro terbesar di Selatan China. Kereta-kereta yang telah diperiksa oleh Xu telah tersusun rapi dalam keadaan yang baik. Sekali imbas, sukar untuk dikatakan bahawa ia adalah kereta terpakai.

“Berbanding kereta baharu yang perlu dijual menerusi jaringan peniaga berdaftar, kenderaan pra-milik boleh melangkaui kekangan tersebut. Di situlah kelebihan kami,” jelas Xu.

Sejak China melancarkan program perintis eksport kereta terpakai pada 2019, volum eksport terus meningkat. Global-Ucar merupakan salah satu daripada 40 pengeksport awal yang berlesen di seluruh negara.

“Kenderaan terpakai China berharga berpatutan, tahan lama dan boleh dipercayai, menjadikannya popular dalam kalangan pembeli antarabangsa,” tambah Xu.

Stesen servis pendaftaran kenderaan Global-Ucar berfungsi sebagai perhentian pertama bagi kenderaan yang dituju untuk eksport.

“Melalui usaha yang diselaraskan dengan jabatan perdagangan dan keselamatan awam tempatan, kami telah mewujudkan pusat perkhidmatan sehenti untuk eksport kereta terpakai,” kata Jiang Hong, pekerja di stesen itu.

“Apabila kenderaan tiba, kami mengendalikan pendaftaran maklumat dan pemindahan pemilikan di dewan utama. Kemudian, kereta itu bergerak ke zon pemeriksaan untuk ujian pihak ketiga,” tambah Jiang.

Untuk menyokong pembangunan sektor itu, kastam Guangzhou, di bawah bimbingan Pentadbiran Am Kastam China telah mengoptimumkan proses pengawalseliaannya.

Langkah-langkah seperti pelantikan pelepasan kastam dalam talian, pra-pengisytiharan, pemeriksaan semasa ketibaan dan pemuatan terus semasa ketibaan telah membantu mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan dengan ketara. Kakitangan kastam yang berdedikasi pula telah mempercepatkan prosedur semakan untuk perusahaan yang mengeksprot.

Setelah semua kenderaan yang menuju ke Dubai tiba di pelabuhan, keseluruhan proses eksport selesai dalam masa kurang dari sehari.

Menurut Lu Runsheng, penyelia operasi di Terminal Automobil Nansha, dengan semua langkah diperkemas ini, kapal ro-ro kini boleh berlabuh, memuatkan dan berlepas hampir serta-merta.

“200 kenderaan itu telah dihantar seperti yang dirancang dan akan tiba di Zon Bebas Jebel Ali di Dubai dalam masa kira-kira dua minggu. Sila siap sedia untuk menerimanya,” tulis Yu Wenxin, penyelaras perniagaan di Global-Ucar, dalam mesejnya kepada pelanggan di Dubai.

“Hebat—kecekapan anda benar-benar mengagumkan!” respons yang diterima oleh pembeli.

Sebagai salah satu provinsi perdagangan kereta terpakai dan pembuat automobil terbesar di China, Guangdong mempunyai pasaran yang matang dan bekalan kenderaan yang banyak.

Hakikatnya, transaksi kereta terpakai pertama di China telah diselesaikan oleh firma yang di Guangdong pada Julai 2019. Pesanan yang diterima ketika itu adalah bernilai AS$2.5 juta, dan merangkumi 300 kenderaan yang dihantar secara kumpulan demi kumpulan dari Pelabuhan Nansha ke destinasi seperti Kemboja, Nigeria, Myanmar dan Rusia.

Pegawai pemeriksaan sempadan di pintu masuk Nansha sedang memeriksa kenderaan terpakai yang dijadual untuk dieksport.

Pegawai pemeriksaan sempadan di pintu masuk Nansha sedang memeriksa kenderaan terpakai yang dijadual untuk dieksport.

Mengeksport kenderaan terpakai adalah projek yang kompleks yang merentasi pelbagai sektor. Ia memerlukan usaha yang terancang antara kerajaan dan perusahaan, sokongan dasar yang kuat, pembangunan pasaran jangka panjang dan rantai bekalan berstruktur baik.

Sejak 2019, Guangzhou telah memajukan perniagaan eksport kenderaan terpakai secara stabil dengan menambah baik perkhidmatan, mengawal amalan pasaran, mengembangkan capaian antarabangsa dan menetapkan piawaian industri.

Hari ini, lebih daripada 200 syarikat di Guangzhou terlibat dalam eksport kereta terpakai serta perkhidmatan lain yang berkaitan.

Pada 2024, Terminal Automobil Nansha mengeksport sejumlah 248,500 kenderaan menerusi kapal ro-ro, iaitu peningkatan sebanyak 38.5 peratus dari tahun ke tahun.

Daripada jumlah itu, 33,486 adalah kenderaan terpakai, dengan nilai eksport keseluruhan sebanyak RMB3.99 bilion (AS$546.99 juta), menokok sebanyak 251 peratus dalam volum dan 239 peratus dalam nilai berbanding tahun terdahulu.

Di pasaran kenderaan terpakai BLJ, iaitu hab perdagangan kereta terpakai terbesar di Guangzhou, kelibat pembeli asing dilihat sebagai satu pemandangan biasa.

“Dengan dasar galakan kerajaan terhadap menggantikan kenderaan lama, sejumlah besar kenderaan pra-milik berkualiti tinggi telah memasuki pasaran itu,” ujar Liu Hongbo, timbalan pengurus besar pasaran itu.

Foto memaparkan situasi hiruk-pikuk di sekitar Terminal Automobil Nansha.

Foto memaparkan situasi hiruk-pikuk di sekitar Terminal Automobil Nansha.

“Pembeli antarabangsa khususnya bagi mereka yang berminat dalam kenderaan tenaga baharu telah memperlihatkan permintaan tinggi. Ramai yang membuat pesanan tanpa ragu-ragu,” ujar Liu kepada People’s Daily.

Pada Disember 2024, Guangzhou melancarkan pangkalan perkhidmatan eksport kereta terpakai pertamanya yang seluas 20,400 meter persegi dan dibahagikan kepada 11 zon yang berfungsi.

Fasiliti tersebut menawarkan perkhidmatan sehenti, termasuk penyediaan kenderaan, pendaftaran kereta baharu, pemeriksaan, pameran kereta, pergudangan, logistik dan pengurusan transaksi, sekali gus secara berkesan membina sistem perkhidmatan rantai penuh untuk eksport kereta terpakai.

Pada 2025, dasar eksport Guangzhou untuk kereta terpakai akan terus dinaik taraf, seterusnya melicinkan proses eksport selari dengan lebih baik.

“Ini adalah berita baik buat perusahaan seperti kami. Ia akan menyuntik momentum segar kepada pasaran eksport Guangzhou dan menambah baik kekuatan keseluruhan sektor eksport auto China,” ujar Xu Xiaoqing.

Video

Berita Berkaitan