- Lain-lain
China Lancar Ekspedisi Air Hulu Glasier Sungai Kuning
Foto udara ini menunjukkan glasier di Gunung Anyemaqen di kawasan autonomi Tibet Golog, provinsi Qinghai, barat laut China, 8 Mac 2023. (Xinhua/Chen Jie)
Satu ekspedisi saintifik ke Gunung Anyemaqen, sebuah kawasan tadahan air penting di air hulu Sungai Kuning, dilancarkan pada Selasa di Xining, ibu provinsi Qinghai di barat laut China. Ekspedisi ini merupakan sebahagian usaha lebih meluas di peringkat negara untuk melindungi sungai kedua terpanjang itu.
Penyelidik akan memantau perubahan glasier, ibun abadi (permafrost) dan juga sumber air untuk lebih memahami respons kawasan tersebut terhadap perubahan iklim. Dapatan mereka dijangka mampu membimbing strategi perlindungan dan pemuliharaan ekologi dalam jangka panjang, menurut pihak penganjur ekspedisi.
Terletak di kawasan autonomi Tibet Golog, Anyemaqen ialah gunung berpuncak salji yang terbesar di kawasan punca Sungai Kuning. Terdapat lebih 40 glasier di situ, yang menjadi komponen penting kriosfera malahan penunjuk yang sensitif akan perubahan iklim.
Dengan liputan glasier melebihi 100 kilometer persegi, kawasan berkenaan memainkan peranan yang mustahak dalam mengekalkan paras air di tasik-tasik punca yang mengairi Sungai Kuning.
“Ekoran pemanasan global, glasier di Gunung Anyemagen sedang mengalami perubahan besar,” kata Hou Guangliang, seorang profesor di sekolah sains geografi Universiti Normal Qinghai. “Kami mendapati ketinggian permukaan glasier merosot, unduran lidah glasier semakin cepat dan runtuhan salji kerap terjadi.”
Pakar berkata bahawa penyelidikan ini akan menyokong usaha China pada skala lebih meluas untuk melindungi keselamatan air dan biodiversiti di lembangan Sungai Kuning tatkala berlakunya perubahan di peringkat global.
Misi tersebut diketuai oleh Yayasan Perlindungan Ekologi Sanjiangyuan, pentadbiran Taman Negara Punca Tiga Sungai, dan Universiti Normal Qinghai.
Sungai Kuning, berukuran 5,464 kilometer panjang, bermula di provinsi Qinghai dan mengalir melalui Sichuan, Gansu, Ningxia, Mongolia Dalam, Shaanxi, Shanxi dan Henan, sebelum sampai ke Shandong di timur China dan bertemu dengan Laut Bohai.
- China Selesaikan Ekspedisi Antartika Ke-41
- Pasukan Ekspedisi Dapatkan Semula Pelampung Tambatan Bawah Permukaan Ekologi Antartika Pertama China
- Saintis China dan Asing Bakal Mulakan Ekspedisi Baharu di Gua Terpanjang Asia
- Ekspedisi China Jumpa Pelbagai Haiwan di Antartik
- Pasukan Ekspedisi Antartika ke-40 China Berlepas untuk Penyelidikan Saintifik
- Pembinaan Stesen Ekspedisi Saintifik China di Antartika Berjalan Lancar
- China akan Bina Stesen Penyelidikan Saintifik Baharu di Antartika
- Pasukan Ekspedisi Artik Ke-13 China Tiba di Kutub Utara
- Operasi Perairan Pertama Ekspedisi Arctic Ke-13 China Berakhir
- Kapal Ekspedisi Saintifik Xuelong-2 Berlepas ke Artik