Puisi Purba Bantu Jejak Sejarah Ikan Lumba-lumba Tanpa Sirip Yangtze

Foto yang diambil pada 5 Januari 2025 ini memaparkan seekor ikan lumba-lumba tanpa sirip Yangtze berenang di Empangan Gezhouba di bandar Yichang, provinsi Hubei, tengah China. (Xinhua/Xiao Yijiu)

Foto yang diambil pada 5 Januari 2025 ini memaparkan seekor ikan lumba-lumba tanpa sirip Yangtze berenang di Empangan Gezhouba di bandar Yichang, provinsi Hubei, tengah China. (Xinhua/Xiao Yijiu)

Saintis China telah menjejak sejarah taburan ikan lumba-lumba tanpa sirip Yangtze selama 1,400 tahun melalui kaedah analisis yang inovatif terhadap puisi klasik China.

Penyelidik dari Institut Hidrobiologi Akademi Sains China telah mengkaji puisi-puisi lama untuk mengetahui perubahan habitat spesies tersebut, memberikan pemahaman baharu tentang pola kepelbagaian biologi dalam jangka panjang.

Terkenal kerana saiznya yang agak besar dan kekerapan ia muncul ke permukaan air, ikan lumba-lumba tanpa sirip Yangtze telah lama menarik perhatian manusia. Tabiat melompat ketika makan, terutamanya sebelum ribut petir, menjadikan haiwan ini subjek banyak karya sastera purba.

Pasukan penyelidik tersebut telah mengenal pasti, menghimpun dan menganalisis petikan-petikan dalam puisi klasik yang menyebut tentang ikan lumba-lumba itu. Dengan mengkaji biografi pemuisi, isi dan gaya penulisan, mereka berjaya menjejak taburan spesies berkenaan pada tempoh-tempoh berlainan dalam sejarah dan juga kawasan geografi berbeza sepanjang lebih 14 abad.

Kajian sistematik mereka melibatkan 724 puisi dari Dinasti Tang (618-907) dan seterusnya. Kerja-kerja pendokumenan dianggap paling lengkap pada Dinasti Qing dengan 477 rujukan, diikuti Dinasti Ming dengan 177, Dinasti Song dengan 38, Dinasti Yuan dengan 27 dan Dinasti Tang dengan lima.

Untuk menerangkan perubahan geografi Sungai Yangtze dan pengaruh manusia dari zaman ke zaman, para penyelidik telah mencipta sebuah model ruang yang membahagikan lembangan sungai itu kepada 1,056 unit grid standard 30 x 30 kilometer untuk membuat perbandingan yang tepat.

Hasilnya menunjukkan berlakunya pengecutan 65 peratus dalam julat taburan sejak Dinasti Tang, yang berkurang daripada 169 unit grid kepada hanya 59 hari ini. Penyusutan terbesar berlaku dalam seabad lalu, menurun daripada 142 unit grid pada Dinasti Qing kepada paras sekarang.

Analisis setempat pula menunjukkan kehilangan habitat yang tidak seimbang – dengan bahagian utama aliran Yangtze menyaksikan kemerosotan 33 peratus, sedangkan cawang sungai dan tasik kehilangan 91 peratus populasi ikan lumba-lumba.

Kajian ini menunjukkan perkaitan antara perkembangan peradaban China dan perubahan biodiversiti, yang membawa kepada pendekatan inovatif dalam menyiasat populasi haiwan dalam sejarah.

Dapatan kajian diterbitkan dalam jurnal Current Biology.

Video

Berita Berkaitan