- Lain-lain
Anjing Robotik Kini Jadi Kebiasaan Dalam Kehidupan Harian Rakyat China
Pada tahun-tahun mutakhir ini, dengan kemajuan dalam bidang teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI), kehadiran anjing robot atau robot kuadruped telah semakin dirasai dalam kehidupan harian rakyat China berikutan rupanya yang menarik dan kebolehannya yang berbagai fungsi.
Anjing robotik dan anggota polis melakukan rondaan di sebuah taman di daerah Jinchuan, bandar Jinchang, Provinsi Gansu di barat laut China pada 5 Mei 2025. (Foto/Zhang Hongbin)
Skop penggunaan haiwan kanin mekanikal tersebut juga terus berkembang. Ciri-cirinya yang interaktif, pintar dan tangkas bergerak telah menjadi satu kemudahan terhadap sama ada kerja mahupun kehidupan.
Pada awal musim panas, sebuah anjing robotik berwarna kelabu yang dilabel ‘rondaan pencegahan kebakaran’ telah berada di denai kembara di kawasan pergunungan daerah Shunyi, Beijing, bagi mengikuti bomba hutan yang sedang bekerja.
Difahamkan, anjing robotik rondaan generasi seterusnya ini yang dibangunkan oleh Unitree Robotics di Hangzhou telah secara rasminya menyertai pejabat kawalan kebakaran padang rumput dan hutan pada 13 Mac lalu.
Dengan berat sekitar 12.5 kilogram, anjing robotik itu mengintegrasikan pelbagai fungsi termasuk rondaan, komunikasi masa nyata dan amaran awal. Dilengkapi dengan penderoa yang berketapatan tinggi, ia boleh mengesan risiko dalam masa nyata. Ia juga membentuk sebahagian daripada jaringan tadbir urus tiga dimensi yang dihubungkan dengan pusat kawalan kecemasan peringkat daerah, sekali gus membawa perspektif segar terhadap usaha-usaha pencegahan kebakaran hutan.
Kanak-kanak sedang berinteraksi dengan anjing robotik semasa Pameran Robot Pintar AI Huan Meng 2025 di bandar Fuzhou, Provinsi Fujian, di tenggara China pada 8 Mac 2025. (Foto/Wang Wangwang)
Anjing-anjing robot yang sama juga telah diguna pakai di beberapa kawasan di China.
Pada 21 April lalu, robot kuadruped yang dilengkapi dengan kamera yang distabilkan oleh gimbal dan sistem pengimejan AI telah dilihat sedang menavigasi kontena di terminal kontena Pelabuhan Ningbo-Zhoushan di Provinsi Zhejiang, timur China. Ia sedang mengimbas kerosakan struktur, mengesan kejanggalan, dan membuat penstriman data dalam masa nyata kepada platform berasaskan awan. Ia juga merupakan julung-julung kalinya Zhejiang memperkenalkan robot kuadruped ke dalam operasi penyeliaan kastam.
Kolaborasi antara dron dan robot telah menambah baik kecekapan kastam dan mempermudah pengurusan pelabuhan pintar.
Penari tarian singa dan anjing robotik membuat persembahan di dataran di bandar purba Luodai, bandar Chengdu, Provinsi Sichuan, barat daya China, 4 Mei 2025. (Foto/Zhou Qiaomin)
Pada bulan Februari, detasmen bomba dan penyelamat Qingdao, Provinsi Shandong di timur China telah menambah dua anjing robotik di dalam pasukan. Dengan kemampuan beroperasi secara berterusan selama 3.6 jam dengan jarak ketahanan lebih daripada 15 kilometer, anjing robotik menyediakan video definisi tinggi masa nyata, mengesan gas mudah terbakar dan toksik serta menghantar data yang berkaitan serta menjejaki sumber haba walaupun melalui asap tebal.
Pada bulan April, platform pemantauan kualiti air mudah alih ‘anjing robot + mikrofluidik’ yang pertama China telah diperkenalkan di Hangzhou, Provinsi Zhejiang.
Di kawasan pemandangan Gunung Tai di Provinsi Shandong, anjing robot berfungsi sebagai ‘tukang angkut pintar’ untuk membawa barang berat dan membuang sisa.
Sementara itu, pada bulan Februari, anjing robotik pintar generasi keempat bernama Xiaoxi menyertai rumah jagaan di Hangzhou sebagai ‘penjaga’.
Anjing robotik menunjukkan penghantaran ubat di Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China Kelima, 14 April 2025. (Xinhua/Pu Xiaoxu)
Berbanding dengan model tugas berat yang digunakan dalam tetapan industri, berat Xiaoxi hanya 14 kilogram. Walaupun saiznya kecil, ia mempunyai fungsi yang mengagumkan: seperti mengenali nombor bilik, menghantar ubat, mengingatkan warga emas untuk mengambil ubat, mengesyorkan menu dan membawa makanan.
Dengan kamera kedalaman 3Dnya, Xiaoxi boleh mengesan halangan dan pergerakan manusia, dan mencetuskan penggera apabila ia mengenal pasti orang yang jatuh.
Anjing robot itu juga menyediakan bantuan navigasi dan menawarkan fungsi interaktif seperti berbual dengan warga emas, meningkatkan kepuasan mereka dan membawa mereka rasa serba baharu.
Di luar penjagaan orang tua, anjing robot juga telah menjadi teman pintar untuk kanak-kanak. Banyak sekolah di seluruh China telah memperkenalkan robot ini ke dalam aktiviti pengajaran khusus.
Dengan peningkatan teknologi dan harga yang semakin murah, anjing robotik gred pengguna menjadi semakin menarik. Ciri-ciri seperti pemantauan jauh, interaksi suara dan persahabatan emosi telah menjadikannya kelengkapan rumah yang popular.
Baru-baru ini, satu anjing robot bernama Sirius menjadi tular secara dalam talian. Mampu memahami dan bertindak balas kepada arahan suara, Sirius boleh melakukan tindakan seperti duduk, melompat dan juga menari dengan mudah.
Foto menunjukkan anjing robotik bernama Sirius yang dibangunkan oleh Syarikat Hengbot Innovation dari Perbandaran Chongqing, barat daya China. (Foto ihsan individu yang diwawancara)
Dibangunkan oleh Syarikat Hengbot Innovation di Perbandaran Chongqing di barat daya China, Sirius merupakan robot berkaki empat berskala kecil yang pintar dengan berat hanya 1 kilogram.
Dijadualkan untuk dilancarkan pada bulan Jun, ia menyasarkan dua kumpulan pengguna utama: pengguna individu yang mencari haiwan peliharaan robotik untuk ditemani, dan pembangun yang mahir teknologi, termasuk pelajar kolej, peminat dan jurutera, yang ditawarkan platform untuk pembangunan menengah.
Hari ini, anjing robotik telah menjadi ‘kegemaran baharu’ di tempat tarikan pelancong, membawa pengalaman yang belum pernah berlaku sebelum ini kepada pengunjung.
Semasa musim cuti panjang Hari Pekerja tahun ini, dua anjing robot bernama Benben muncul sebagai pemandu hutan baharu di kawasan pemandangan Gunung Heban di Binzhou, Provinsi Shandong.
Lebih menarik, anjing robotik juga aktif di acara sukan. Pada Marathon Chongqing Automobil Chang'an 2025, sekumpulan anjing robotik mempersembahkan tarian singa dan membantu penghantaran bekalan.
Data menunjukkan bahawa sejak Mac tahun ini, carian untuk ‘robot AI’ pada platform e-dagang Alibaba Tmall telah melonjak 21 kali tahun ke tahun. Semasa acara membeli-belah yang bertemakan Hari Wanita Antarabangsa di Tmall, jualan melonjak sebanyak 400 peratus tahun ke tahun, dengan anjing robot berkaki empat mewakili item yang sangat popular.
Menjelang 2030, jualan global robot berkaki empat dijangka melebihi 560,000 unit, dengan skala pasaran berpotensi melepasi RMB8 bilion (AS$1.11 bilion), lapor Institut Penyelidikan Industri Gaogong.
- Pertandingan Peringkat Wilayah RoboMaster 2025 Buka Tirai di Changsha
- Beijing Jadi Tuan Rumah Sukan Robot Manusia Pertama di Dunia
- Robot Manusia Sertai Larian Separa Maraton Pertama di Dunia di Beijing
- Robot, Manusia Berluma dalam Separuh Maraton di Beijing
- Robot Penyelamat, Pengalih Kecemasan Pertama Dunia Diperkenal, Operasi Pada Suhu -20 ke 55 Darjah Celsius
- Peranti ‘Robot Pembantu Berjalan’ Sasar Pasaran Warga Emas
- China Perkenal Robot Perlombongan Angkasa Lepas Pertama
- Anjing Robot Dikuasakan AI, Ambil Alih Tugas Pemeriksaan di Pangkalan Sayuran
- Robot Manusia Berjaya Lakukan Aksi ‘Front Flip’
- Robot Manusia China Ambil Alih Kerja Kilang, Rumah, Separa Maraton