Beijing Terima Lebih 8 Juta Pelancong Sempena Cuti Pesta Duanwu

(CRI)Selasa 03 Jun 2025

Beijing menerima kunjungan seramai 8.211 juta pelancong semasa cuti perayaan Duanwu atau Pesta Perahu Naga, meningkat 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Biro Kebudayaan dan Pelancongan Beijing.

Sementara itu jumlah perbelanjaan pelancong pula mencecah 10.77 bilion yuan (RM6.35 bilion), meningkat kira-kira 6.7 peratus.

Sepanjang cuti perayaan tersebut, Beijing telah melancarkan lebih 1,700 aktiviti kebudayaan dan pelancongan yang bertemakan "Hayati Pesta Duanwu dan Lawatan Musim Panas Berwarna-warni di Beijing".

Aktiviti yang dianjurkan seperti, Karnival Perahu Naga, Pasar Warisan Budaya Tidak Ketara serta pengalaman memakai pakaian tradisional Han yang menggabungkan budaya tradisional dengan gaya hidup moden telah menarik minat warga tempatan dan pelancong asing.

Beijing turut menyaksikan peningkatan yang ketara dari segi jumlah kunjungan pelancong asing apabila merekodkan 67,000 pelancong antarabangsa semasa cuti perayaan tersebut, iaitu meningkat 35.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Manakala perbelanjaan pelancong asing pula mencecah 720 juta yuan (RM425 juta), meningkat 41.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dilaporkan pada 1 dan 2 Jun, lebih 270 ejen pelancongan dari lebih 40 negara dan wilayah berkumpul di Beijing bagi menyertai lawatan "Meneroka Beijing" bagi tempoh 48 jam.

Video

Berita Berkaitan