- Lain-lain
China Sedia Tingkatkan Hubungan dengan Australia-PM Li Qiang
Perdana Menteri China, Li Qiang berkata China bersedia bekerjasama dengan Australia untuk meningkatkan dan meluaskan kerjasama dua hala, mewujudkan hasil sama menang yang bertaraf lebih tinggi demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Li menyatakan demikian sempena Pertemuan Tahunan Perdana Menteri China-Australia ke-10 bersama rakan sejawatnya Anthony Albanese di Beijing, pada Selasa.
Li Qiang berkata, China dan Australia saling melengkapi dari segi ekonomi, sementara mempunyai ruang kerjasama yang meluas dalam bidang tenaga dan sumber mineral, produk pertanian, pembangunan hijau, serta inovasi sains dan teknologi.
Oleh itu, kata Li, China dan Australia harus memanfaatkan pelbagai mekanisme dialog yang sedia ada, mencari lebih banyak kepentingan bersama dan titik pertumbuhan ekonomi, selain merangsang potensi kerjasama yang cukup besar dalam sektor ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Albanese pula menyatakan, hubungan Australia-China kini menunjukkan momentum perkembangan positif. Pihaknya komited untuk membina hubungan bilateral dengan China ke arah lebih stabil dan konstruktif.
Kata beliau, Australia bersedia untuk mengukuhkan pertukaran dan dialog peringkat tinggi dengan China dalam pelbagai bidang, termasuk hubungan luar, ekonomi dan perdagangan, sambil memastikan hubungan dua hala tidak terganggu oleh perbezaan dan perselisihan.
Selepas pertemuan itu, kedua-dua perdana menteri menyaksikan pemeteraian siri dokumen kerjasama melibatkan sektor perdagangan, pemeriksaan kastam dan kuarantin, pertanian dan pelancongan, selain mengeluarkan Kenyataan Pencapaian Bersama Pertemuan Tahunan Perdana Menteri China-Australia.
- Xi Terima Kunjungan Perdana Menteri Australia
- Xi Ucap Tahniah kepada Perdana Menteri Australia
- Rundingan Strategik Pertahanan ke-23 China-Australia Berlangsung di Beijing
- Xi Bertemu PM Australia
- Xi Utus Tahniah kepada Gabenor Jeneral Baharu Australia
- Usahawan China, Australia Diharap Dorong Kerjasama dalam Bidang Lebih Luas - PM Li
- China, Australia Sedia Kukuhkan Hubungan Dua Hala
- China Harap Parlimen Australia Sokong Kerjasama Bilateral
- China Janji Pinjam Sepasang Lagi Panda kepada Australia
- PM Li Mulakan Lawatan di Australia