Keindahan Musim: Xiaoshu

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 07 Julai 2025

Hari ini adalah Xiaoshu, atau ‘Panas Kecil’. Ayuh ikut Sisi ke Kawasan Autonomi Miao dan Dong Qiandongnan di Provinsi Guizhou, barat daya China, yakni tempat dengan keindahan nan menakjubkan, untuk melarikan diri sebentar daripada bahang musim panas.

Pada zaman purba, tempoh ini dinamakan ‘Panas Kecil’ kerana ia memberi isyarat tentang permulaan cuaca yang panas, meskipun kepanasan itu belum sampai kemuncaknya. Dalam penggal ke-11 kalendar ‘24 Musim’ ini, sinaran matahari memancar, kadar hujan bertambah, ruang udara dipenuhi dengan haruman teratai dan buah-buahan pula mengeluarkan bau yang cukup manis. Ia adalah musim yang menyaksikan pertumbuhan penuh bertenaga bagi setiap benda hidup.

Makan padi yang segar adalah salah satu tradisi dalam kalangan penduduk di China. Orang ramai akan mengkisar padi yang baru dituai semasa penggal ‘Panas Kecil’ dan memakannya, sebagai tanda untuk meraikan tuaian dan doa agar cuaca yang baik serta hasil tanaman yang kaya pada tahun berikutnya.

Apabila tibanya penggal ini, ia juga bermakna bahawa bermulanya tempoh Sanfu. Tempoh Sanfu atau tempoh paling panas pada musim panas, merujuk kepada tiga tempoh 10 hari berdasarkan kalendar Cina. Dikira mulai solstis musim panas, kita akan memasuki tempoh Sanfu selepas ‘Panas Kecil’.

Menariknya, di Barat, orang ramai memerhatikan bahawa bintang yang paling bersinar di langit pada waktu malam iaitu Sirius, muncul apabila fajar menyingsing semasa tempoh paling panas sepanjang tahun itu. Mempercayai bahawa ia akan menggandakan kepanasan, justeru mereka memanggil ia sebagai ‘dog days’ atau tempoh paling panas. Kedua-dua tempoh Sanfu China dan ‘dog days’ di negara-negara barat memperlihatkan bahawa budaya yang berbeza telah berkongsi memori kehangatan musim panas.

"Tiupan angin hangat secara tiba-tiba apabila Panas Kecil tiba." Tatkala kehidupan yang pantas berlalu disulami cuaca panas terik ini, semoga anda menjadi terang laksana matahari musim panas dan menikmatinya setiap detik.

Video

Berita Berkaitan