- Lain-lain
Forum Xiangshan ke-12 Buka Tirai di Beijing
Forum Xiangshan ke-12 dibuka secara rasmi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Beijing pada hari ini.
Menteri Pertahanan China, Dong Jun berucap pada majlis tersebut sekaligus merasmikan forum yang bertemakan “Safeguarding the International Order and Promoting Peaceful Development Together”.
Acara ini menarik penyertaan lebih 1,800 peserta termasuk perwakilan, pemerhati dan pengamal media dari 100 buah negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa.
Sebelum ini pada Rabu, Dong Jun telah mengadakan pertemuan secara berasingan dengan rakan sejawatnya dari pelbagai negara termasuk Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja Tea Seiha dan Menteri Pertahanan Myanmar Maung Maung Aye.
Dalam pertemuan tersebut, Dong Jun berkata, China bersedia mengekalkan hubungan persahabatan tradisional dengan semua pihak, memperkukuh komunikasi strategik, memperkasa kerjasama tahap tinggi dalam bidang keselamatan bagi menghadapi cabaran risiko, sekali gus menyediakan sokongan kukuh kepada tadbir urus global dan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Sementara itu, Khaled Nordin dalam pertemuan itu berkata, Malaysia sentiasa menumpukan perkembangan hubungan dengan China.
Mengulas lanjut, Khaled berkata pihaknya berpegang teguh pada prinsip Satu China, dan bersedia untuk memperkasa komunikasi dan kerjasama antara kedua-dua negara, terutama dalam bidang pertahanan dan keselamatan, untuk bersama-sama menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.