Kao Kim Hourn Beri Penekanan Terhadap Kerjasama SCO-ASEAN

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 03 September 2025

Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn menekankan bahawa kerjasama yang kian meningkat antara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) telah menonjolkan matlamat bersama dalam keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.

"Kerjasama antara ASEAN dan SCO, inilah yang dipanggil kerjasama pertubuhan antara wilayah," kata setiausaha agung itu ketika diwawancara eksklusif People’s Daily Online di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di Tianjin utara China, sambil menggariskan kepentingan strategik kerjasama pelbagai hala.

Beliau menyatakan bahawa memorandum persefahaman (MOU) sedia ada menyediakan rangka kerja untuk inisiatif bersama.

"Jadi saya mahu melihat apa yang boleh kita lakukan bersama antara dua pertumbuhan serantau yang berkongsi beberapa aspirasi, terutamanya dalam promosi serta mengekalkan keamanan dan keselamatan," ujar Kao.

Beliau turut mengetengahkan inisiatif strategik jangka panjang ASEAN, seperti Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan empat pelan strategik baharu.

"Rantau kita tentunya sudah menyumbang kepada dunia. Tetapi pada masa yang sama, terdapat (kawasan) kerjasama lain yang boleh kita bekerjasama.

“Inisiatif ini merangkumi pelbagai tonggak; salah satunya sudah tentu di bawah keselamatan politik, satu lagi di bawah budaya ekonomi dan sosial serta kesalinghubungan,” ujar Kao.

Mengenai kerjasama yang lebih luas, setiausaha agung itu menekankan kepentingan interaksi antara rakyat dan pengurusan bencana.

"Sudah tentu, (saya) melihat kepada isu yang lebih luas untuk menggalakkan interaksi antara rakyat. Pada masa sama, (kita juga) bekerjasama dalam bidang pengurusan bencana, semua bidang yang kita minati bersama. Kerana, kita semua kini terjejas oleh perubahan iklim," jelas Kao.

Memandang ke hadapan, beliau menekankan keperluan untuk kemampanan jangka panjang dan memanfaatkan peluang semasa.

"Namun, pada masa sama, melihat kemampanan jangka panjang, (kita meneliti) bagaimana kita boleh bekerjasama. Kerana dunia berada dalam dinamik baharu. Saya fikir apa yang penting ialah bagaimana kita boleh memanfaatkan situasi semasa, peluang semasa," tambah setiausaha agung itu.

Mengulas mengenai kerjasama dalam keselamatan, tenaga dan rantaian bekalan, Kao berkata bahawa isu-isu tersebut tidak khusus untuk satu organisasi atau rantau tertentu.

“Ini adalah yang sedang dihadapi oleh kita semua. Jadi saya fikir itulah sebabnya penting untuk kita bekerjasama agar dapat memastikan kita mempunyai rantaian bekalan jangka panjang kepada ekonomi global," jelasnya.

Tambah Kao, ASEAN tidak pernah melanggar prinsip yang dijunjungnya kerana ia mahu melihat sistem perdagangan pelbagai hala yang stabil, terbuka, dan berasaskan peraturan yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Antara lain yang ditekankan setiausaha agung itu juga adalah peranan teknologi dan inovasi.

"Pada masa sama, dalam menangani cabaran hari ini, kita mesti bekerjasama untuk memanfaatkan potensi AI dan teknologi baru muncul dalam cara yang terbaik untuk manusia dan memberi manfaat kepada orang ramai," ujar Kao.

Mengenai hubungan ASEAN-China, beliau memperkenalkan pelan tindakan lima tahun baharu.

"Pelan tindakan lima tahun baharu, Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China (2026-2030), adalah di bawah perkongsian strategik komprehensif semasa. Ia membina pencapaian dalam tempoh lima tahun lalu dan mencakupi pelbagai sektor, termasuk perdagangan, pelaburan, kesihatan awam, pengurusan bencana, pendidikan dan alam sekitar.

"Antara ASEAN dan China, kita mempunyai satu daripada jumlah mekanisme kerjasama yang paling meluas," kata Kao.

Beliau turut menekankan tentang Rundingan Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, yang dijangka ditandatangani semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China pada Oktober.

"Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) akan menjadikan kerjasama ekonomi kita lebih kukuh. Dan saya ingin mengatakan bahawa antara ASEAN dan China, kita telah menjadi rakan dagang nombor satu antara satu sama lain," maklum Kao.

Beliau juga menekankan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai rangka kerja kritikal untuk integrasi ekonomi serantau.

Ekonomi digital dan pertukaran antara rakyat terus menjadi keutamaan. Kao berkata, pihaknya mahu melihat lebih ramai golongan muda dapat berganding bahu.

“Kami mahu melihat pertukaran rakyat antara kedua-dua pihak melalui kerjasama pelancongan, program pertukaran pelajar, dan pelbagai inisiatif yang kini telah dilaksanakan antara kedua-dua pihak," katanya sambil turut mengalu-alukan Visa Perniagaan ASEAN China sebagai langkah penting untuk memudahkan pertukaran perniagaan.

Mengenai keselamatan dan perubahan iklim, beliau menyatakan usaha kerjasama menentang jenayah transnasional, termasuk penipuan dalam talian, dan mengetengahkan inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN.

"Ini adalah kawasan di mana kami boleh bekerjasama rapat dengan China, kerana kami mempunyai banyak projek tenaga berskala besar bersama-sama," ujar Kao.

Menyentuh mengenai ketersambungan, beliau berpendapat bahawa semua pihak harus menggalakkan ketersambungan sehabis yang baik. Baginya, ketersambungan bukan sahaja menyatukan orang ramai, tetapi juga meningkatkan hubungan antaranya melalui sambungan penerbangan.

“Kami melihat peningkatan jumlah penerbangan antara kedua-dua pihak, yang juga penting dalam usaha mempermudahkan pergerakan orang ramai,” jelas Kao.

Pada penghujung ucapannya, beliau menekankan nilai perkongsian dan lingkaran kerjasama yang bertindih, yang disifatkannya sebagai penting untuk kerjasama jangka panjang masa depan.

Sidang Kemuncak SCO 2025 di Tianjin menyediakan platform bagi negara anggota ASEAN dan SCO untuk mengukuhkan perkongsian mereka, meneroka saluran kerjasama baharu dan menyumbang kepada keamanan serantau, keselamatan dan pembangunan mampan.

Video

Berita Berkaitan