- Lain-lain
Majlis Tayangan Perdana Dokumentari Angkasa 8K China Diadakan di London
Majlis tayangan perdana untuk filem dokumentari angkasa China yang pertama, "Shenzhou-13", telah diadakan pada malam Jumaat bersempena majlis resepsi anjuran Kedutaan Besar China di Britain bagi menyambut ulang tahun ke-76 Republik Rakyat China.
Majlis tayangan perdana itu diserikan dengan kehadiran lebih 400 tetamu termasuk tokoh-tokoh dari pelbagai lapisan masyarakat tempatan, diplomat dari pelbagai negara di Britain, wakil perantau dan orang keturunan Cina di negara itu.
"Shenzhou-13" yang dihasilkan berdasarkan penggambaran dibuat angkasawan Zhai Zhigang, Wang Yaping dan Ye Guangfu merupakan dokumentari berteknologi definisi ultra tinggi 8K yang pertama di China. Pengalaman yang unik selama enam bulan semasa ketiga-tiga angkasawan itu bertugas di Stesen Angkasa Lepas China, pemandangan yang indah di angkasa lepas serta kehidupan harian kru dijadikan tiga tumpuan dalam filem tersebut.
Kuasa Usaha sementara Kedutaan Besar China ke Britain Wang Qi berkata, kuasa produktif berkualiti baharu pacuan inovasi dalam bidang sains dan teknologi yang mesra alam berkembang maju di China pada masa ini. China sebagai peneraju dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan kenderaan elektrik bateri (BEV), mempunyai potensi yang besar untuk meluaskan kerjasama dengan Britain.
Parliamentary under-secretary of State di Pejabat Luar Negara, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan Britain, Seema Malhotra pula menyatakan, Britain sentiasa memberi tumpuan terhadap hubungan dengan China, dan kerjasama antara Britain dan China mempunyai prospek yang cerah dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan, sains dan teknologi, pendidikan dan kebudayaan.