Tinjauan 2025: Sarjana Global Sependapat Imej China di Dunia Terus Meningkat

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 31 Disember 2025

Satu tinjauan antarabangsa yang diumumkan oleh Global Times menunjukkan bahawa persepsi global terhadap China terus meningkat pada 2025, dengan pengiktirafan yang semakin meluas terhadap konsep-konsep tadbir urus, model pembangunan, dan peranan dasar luar yang diamalkan negara ini.

“Tinjauan Global mengenai Impresi dan Pemahaman tentang China 2025”, yang meliputi 46 negara dengan sekitar 51,700 responden, mendapati hampir 70 peratus responden asing memandang positif terhadap China, suatu peningkatan sebanyak enam mata peratusan berbanding 2024. Kira-kira 78 peratus daripada mereka percaya kekuatan komprehensif negara China sedang meningkat, sementara lebih daripada 70 peratus menjangka China akan memainkan peranan lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa.

Tinjauan menunjukkan pengiktirafan meluas masyarakat antarabangsa akan konsep-konsep dasar utama China. Hampir 80 peratus responden menerima positif idea-idea seperti “membina sebuah komuniti berkongsi masa depan buat umat manusia” serta prinsip bahawa “air jernih dan gunung hijau bagaikan gunung emas dan perak”. Kadar sokongan melebihi 70 peratus dicatatkan berhubung komitmen China ke arah “pembangunan berteraskan rakyat”, “memperdalam pembaharuan”, dan “mentadbir parti secara penuh dan ketat”, dengan sambutan kuat khususnya dilihat di negara-negara membangun.

Wang Fan, naib presiden Persatuan Pengajian Antarabangsa Negara China, menyatakan dapatan ini memperlihatkan bahawa konsep-konsep amalan China mendapat sahutan yang menjangkaui dunia membangun. “Ketika dunia dirundung ketidakpastian, banyak negara mencari jalan pembangunan dan idea-idea pentadbiran yang dapat dilaksanakan. Saranan China menawarkan logik praktikal yang jelas, maka mendapat sanjungan yang meluas,” ujarnya.

Dari sudut ini, pakar-pakar asing bersependapat.

Essam Sharaf, mantan perdana menteri Mesir, berkata bahawa penekanan yang diletakkan China pada masa depan yang dikongsi dan pembangunan berorientasikan rakyat mencerminkan suatu pendekatan pragmatik dalam tadbir urus global. Beliau menyifatkan idea-idea seumpama sebagai amat relevan bagi negara-negara Selatan Global yang mencari kerjasama dan kestabilan.

Muhammad Asif Noor, pengarah Institut Pengajian Keamanan dan Diplomasi Pakistan, mengakui imej China yang semakin menyerlah selaku pembekal barangan awam antarabangsa. “Berkontras dengan unilateralisme yang makin ketara di tempat-tempat lain, kesungguhan China menggalakkan kerjasama multilateral dan inisiatif-inisiatif pembangunan telah mengukuhkan imejnya sebagai sebuah kuasa besar yang bertanggungjawab.”

Tinjauan sama turut menekankan pengiktirafan yang kian meningkat terhadap amalan tadbir urus China. Lebih daripada tiga suku daripada mereka yang ditinjau memandang positif pelan lima tahun China, yang digambarkan sebagai mekanisme berkesan untuk pembangunan sosioekonomi jangka panjang.

Wu Xinbo, dekan Institut Pengajian Antarabangsa Universiti Fudan, mengangkat keupayaan China untuk menggabungkan perancangan jangka panjang dengan pelaksanaan mantap sebagai kunci kejayaan pembangunan negara. Memetik pandangan beliau, perbincangan-perbincangan antarabangsa makin kerap merujuk kepada perancangan sistematik dan keupayaan pelaksanaan sebagai rahsia pencapaian China.

Berhubung dasar luar, lebih 70 peratus responden menggambarkan ikatan negara mereka dengan China sebagai normal, akrab, atau pun bercirikan kerjasama strategik, dan sebegitu ramai juga mahu melihat hubungan tersebut terus bertambah subur. Ramai responden menzahirkan rasa optimistik tentang peranan China dalam menggalakkan aturan antarabangsa yang lebih saksama selain pengantaraan pertikaian serantau.

Warwick Powell, seorang profesor di Universiti Teknologi Queensland, mengatakan China sering dilihat sebagai sebuah “kuasa besar yang menjadikan boleh”. Beliau menambah bahawa fokus China pada pencapaian hasil, pembinaan konsensus dan keuntungan bersama telah membawa kepada sokongan antarabangsa yang lebih kuat, lebih-lebih lagi di Selatan Global.

Pada keseluruhannya, para penganalisis menyifatkan tinjauan tersebut sebagai cerminan satu trend meluas ke arah pandangan yang lebih pragmatik dan bernuansa mengenai China. Seperti yang ditekankan oleh Wang Fan, “Komuniti antarabangsa semakin memberikan perhatian bukan sahaja kepada skala China, tetapi juga potensi pembangunan, kemampuan inovasi, dan kesediaan untuk mengejar pertumbuhan bersama.”

Video

Berita Berkaitan