Jual Beli dalam Lengan Baju Bazar Lembu dan Bebiri di Kampung Huangdi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 21 November 2025

Di pinggir utara Kashgar, terdapatnya bazar ternakan yang bukan sahaja terbesar di seluruh Xinjiang malah di seluruh Asia, iaitu Bazar Lembu dan Bebiri di Kampung Huangdi.

Setiap pagi Ahad, para peternak dari seluruh desa membawa lembu, biri-biri, kuda, unta dan keldai masing-masing ke bazar. Para pembeli yang tertarik oleh suasana hiruk-pikuk dan laungan penjaja, akan datang berpusu-pusu. Kelihatan ramai orang yang bersesak-sesak, suasananya meriah bagaikan perayaan.

Apa yang membuat bazar ini unik adalah adat perdagangannya yang kuno dan penuh misteri.

Ia disebut kuno kerana dalam proses memilih haiwan ternakan, para pembeli masih mewarisi amalan berabad lamanya, iaitu ‘Usap tiga kali, angkat sekali, dan periksa satu kali’. Mengusap di bahagian belakang, punggung dan perut haiwan untuk menilai keadaan kesihatannya. Bagi haiwan ternakan yang kecil, berat badannya dianggarkan dengan cara mengangkat dan memegangnya. Membukakan mulut haiwan dan memeriksa giginya adalah untuk menebak umurnya.

Ia disebut misteri kerana proses tawar-menawar dijalankan dalam lengan baju. Cara ini dikenali sebagai “Jual Beli dalam Lengan Baju” dan merupakan satu bentuk perdagangan purba yang pernah popular di Asia Tengah dan Timur Tengah. Tradisi ini dipelihara sepenuhnya di bazar ini. Pembeli dan penjual berdiri berhadapan dengan lengan mereka dijajarkan, lalu menggenggam tangan melalui lengan baju yang longgar. Dengan gerakan jari, mereka akan menyampaikan harga yang diinginkan dan melakukan tawar-menawar pantas melalui bahasa isyarat. Seluruh proses berlangsung tanpa sepatah kata pun, namun penuh dengan helah dan bijak. Sebaik sahaja transaksi itu dimuktamadkan, kedua-dua pihak berpelukan sambil ketawa, manakala orang di sekeliling mereka mengucapkan tahniah dengan penuh mesra.

Hari ini, cara perdagangan kuno nan unik ini bukan sahaja menjadi saksi kepada perdagangan yang rancak di bazar, malah mencerminkan perkembangan pesat industri ternakan Xinjiang. Di bazar lembu dan biri-biri di Kampung Huangdi sahaja, puluhan ribu ternakan dijual beli dalam satu hari bazar. Jumlah nilai transaksi mencecah 30 juta yuan.

Xinjiang mempunyai ladang rumput seluas 720 juta mu dan banyak bazar lembu dan biri-biri. Jumlah pengeluaran tahunan daging lembu dan biri-biri di Xinjiang melebihi 1 juta tan. Namun begitu, jumlah transaksi lembu dan biri-biri yang dilakukan melalui cara kuno tidak diketahui dan direkodkan.

Jom menerokai bazar di Xinjiang. Rasai keunikan “jual beli dalam lengan baju” yang kuno dan penuh misteri. Saksikan kemakmuran perdagangan, perkembangan pesat industri ternakan, serta hiruk-pikuk kehidupan seharian rakyat tempatan.

Video

Berita Berkaitan