Keindahan Musim: Permulaan Musim Sejuk

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 07 November 2025

Hai, semua! Saya Sisi, penggemar kembara. Hari ini adalah Lidong, atau Permulaan Musim Sejuk, iaitu penggal pertama dalam kalendar ’24 tradisional’ untuk musim sejuk.

Bersama-sama dengan Lichun (Permulaan Musim Bunga), Lixia (Permulaan Musim Panas) dan Liqiu (Permulaan Musim Luruh), ia merupakan salah satu daripada ‘Empat Permulaan’, yang turut memberi simbol kepada peralihan musim yang penting.

Ketibaan Lidong turut bermakna bahawa musim sejuk secara rasminya telah bermula.

Ketika ini saya berdiri di Sungai Songhua di Harbin, ‘Bandar Ais’ di timur laut China. Di sepanjang Jalan Tengah, terdapat deretan bangunan elegan bergaya Rusia, dan aroma enak sosej merah Harbin memenuhi segenap ruang udara. Di sungai, peminat renang musim sejuk menikmati air berais, manakala Dunia Ais dan Salji Harbin memperlihatkan bagaimana bandar itu mengubah kesejukan kepada kemeriahan. Ayuh, ikuti saya dan rasai tarikan istimewa fros pertama musim sejuk!

Buat para petani, Lidong menandakan penghujung musim tuaian yang sibuk; dan permulaan kepada persediaan musim sejuk. Bijirin yang baru dituai disimpan, dan ladang mulai menjadi sunyi. Petani akan memanfaatkan masa ini untuk mengairi tanah, iaitu satu amalan yang dikenali sebagai pengairan pembekuan – apabila suhu stabil antara 0 dan 5 darjah Celsius, membantu untuk tanah kekal lembap untuk musim bunga yang seterusnya. Di kampung-kampung bahagian utara, ia adalah satu kebiasaan untuk menyimpan sebahagian bijirin berdekatan dengan batu panas atau katil bata yang dipanaskan, untuk memastikan ia terus kering, sementara kubis dan lobak disusun kemas di dalam bilik bawah tanah dan dilitupi dengan tanah untuk kekal segar sehingga musim bunga. Kesemua amalan tersebut berlanjutan dari generasi ke generasi, sekali gus mencerminkan kebijaksanaan hidup mengikut musim dan bersedia untuk bulan-bulan mendatang.

Di serata dunia, ramai yang mengalu-alukan kedatangan musim sejuk dengan cara tersendiri. Di Finland, mereka menyaksikan Cahaya Utara; di Kanada, musim ski bermula; di Norway, pesta musim sejuk menerangi jalan-jalan dengan tawa. Di China, keluarga di bahagian utara berkumpul untuk menikmati sup kambing dan ladu, sementara di selatan pula, orang ramai menikmati ayam, itik, ikan dan makanan-makanan lain yang bersifat hangat untuk memberi khasiat buat mereka pada musim sejuk.

“Dengan fros yang menyejukkan dakwat, penyajak bermalas-malas untuk menulis; dengan kehangatan perdiangan, wain perlahan-lahan menjadi panas”. Lidong bukan sahaja menandakan perhentian sejenak dalam aktiviti semula jadi, tetapi permulaan kepada pemulihan semula yang senyap. Jangan lupa untuk rehat sebaik mungkin, mengambil makanan hangat dan menjaga diri anda sendiri dan orang yang disayangi tatkala musim sejuk bermula.

Video

Berita Berkaitan