Pakistan Lakukan Serangan Udara ke atas Kabul

(CRI)Jumaat 27 Februari 2026

Kerajaan Afghanistan mengesahkan bahawa beberapa kawasan termasuk ibu kota Kabul, wilayah Kandahar dan Paktia telah menjadi sasaran serangan udara oleh tentera Pakistan pada awal pagi tadi.

Setakat ini tiada laporan rasmi mengenai korban jiwa dalam kalangan orang awam.

Serangan tersebut berlaku beberapa jam selepas tercetusnya pertempuran di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid memaklumkan bahawa tindakan ketenteraan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan sebagai 'provokasi' oleh pihak Pakistan, dengan sasaran dikatakan melibatkan kemudahan ketenteraan di kawasan sempadan.

Kementerian Pertahanan Afghanistan kemudian mengeluarkan kenyataan, mendakwa pihaknya telah menawan 15 pos tentera Pakistan dan membunuh 55 askar Pakistan.

Sementara itu jurucakap Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa pasukan keselamatan Pakistan telah melancarkan serangan balas yang berkesan.

Pihak Pakistan mendakwa telah membunuh 72 anggota bersenjata Afghanistan dan mencederakan 120 orang yang lain, serta telah memusnahkan 16 pos dan menawan 7 pos Afghanistan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kedua-dua negara dilaporkan terlibat dalam pertempuran di kawasan timur Afghanistan dan barat laut Pakistan.

Ketegangan terbaharu ini dikatakan berpunca daripada serangan udara Pakistan pada 21 malam hingga awal pagi 22 Februari ke atas beberapa lokasi berhampiran sempadan yang didakwa menjadi tempat persembunyian kumpulan militan.

Pihak Pakistan mendakwa serangan udara itu telah membunuh lebih 80 orang pengganas, manakala pihak Afghanistan pula mendakwa serangan itu mengakibatkan kematian 18 orang termasuk wanita dan kanak-kanak.

Video

Berita Berkaitan