Industri Desa Lekalkan Momentum Kukuh Suku Pertama

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 24 April 2026

Foto dron bertarikh 9 April 2026 menunjukkan sebuah ladang sayur dengan sokongan teknologi pertanian di kaunti Jingyang, provinsi Shaanxi, barat laut China. (Xinhua/Li Yibo)

Foto dron bertarikh 9 April 2026 menunjukkan sebuah ladang sayur dengan sokongan teknologi pertanian di kaunti Jingyang, provinsi Shaanxi, barat laut China. (Xinhua/Li Yibo)

Industri desa China mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh pada suku pertama 2026, dengan pemprosesan agromakanan, pelancongan luar bandar dan integrasi perindustrian menampakkan prestasi paling cemerlang.

Menurut Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar pada taklimat media Khamis lalu, output nilai ditambah oleh syarikat pemprosesan agromakanan yang hasil perniagaan utama mencatat sekurang-kurangnya 20 juta yuan setahun merekodkan pertumbuhan 6.8 peratus tahun ke tahun.

Sektor rekreasi dan pelancongan luar bandar turut berkembang rancak, dipacu oleh perbelanjaan pada musim cuti serta lonjakan permintaan terhadap pelancongan mencari pengalaman. Senario penggunaan baharu dilihat di merata kawasan desa, dengan semakin banyak usahawan muda membuka inap desa dan kafe kampung sebagai haluan kerjaya mereka.

Selain itu, integrasi perindustrian semakin mendalam. Sejak awal tahun ini, kerajaan telah menyokong penubuhan 40 kluster industri dengan kelebihan unik dan 50 taman perindustrian pertanian moden, serta pembangunan 200 pekan yang industri pertaniannya mantap.

Memandang ke hadapan, kementerian menzahirkan komitmen untuk terus mendorong industri-industri desa. Usaha padu akan dilakukan untuk memupuk jenama tempatan yang tersendiri, memajukan syarikat-syarikat unggul, mengembangkan dan menaiktarafkan rantaian perindustrian, memajukan perniagaan baharu berasaskan pengalaman desa, di samping memperhebat sokongan dasar bagi keusahawanan desa dengan meningkatkan pembiayaan dan penggunaan tanah.

Data rasmi turut menunjukkan bahawa pendapatan boleh guna per kapita penduduk luar bandar meningkat 5.4 peratus dalam konteks sebenar sepanjang tiga bulan pertama, berbanding setahun lalu. Kenaikan ini mendahului pertambahan pendapatan penduduk bandar sebanyak 2.2 mata peratusan.

Sementara itu, pelaburan aset tetap dalam sektor primer naik 15.9 peratus tahun ke tahun pada suku pertama, termasuk dalam pembinaan dan penaiktarafan kemudahan ladang berstandard tinggi. Jualan runcit barangan pengguna desa tumbuh 3.1 peratus, susulan langkah kerajaan memperluas senario penggunaan dan merangsang perbelanjaan.

Video

Berita Berkaitan