- Lain-lain
China, ASEAN Gembleng Usaha Majukan Ekonomi Biru

Foto dron menunjukkan sebuah kapal membawa 179,000 tan bahan mentah petrokimia di Pelabuhan Yangpu, Danzhou, provinsi Hainan, selatan China, 18 Disember 2025. (Foto/Xinhua)
Wujudnya potensi yang cukup hebat untuk China dan ASEAN memperdalam kerjasama ekonomi biru dan membina pasaran bersama yang lebih bersepadu, yang nescaya akan memperkukuh daya tahan rantau ini terhadap tekanan luaran dan merangsang pertumbuhan. Demikian menurut pegawai dan pakar pada Dialog Kerjasama Ekonomi Biru China-ASEAN di Haikou, ibu provinsi Hainan, Ahad lalu.
Ketidakpastian geopolitik, fahaman perlindungan dan risiko rantaian bekalan yang kian meningkat menjadikan lebih perlunya kerjasama lebih meluas membabitkan tenaga marin, logistik pelabuhan, perkapalan, pelancongan marin dan industri pantai. Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan diharap dapat berfungsi sebagai hab strategik untuk kerjasama ini.
Wang Bin dari Hainan berkata, provinsi tersebut memainkan peranan sebagai pintu penting bagi keterbukaan China terhadap ASEAN serta usaha menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi sektor marin. Lyu Bin dari Yayasan Pembangunan Lautan China pula menyatakan bahawa FTP Hainan menawarkan satu peluang yang jarang ada untuk China dan ASEAN mengatasi rintangan ke arah integrasi ekonomi biru.
Mewakili Institut Pembaharuan dan Pembangunan China, Chi Fulin percaya sebuah pasaran bersama ekonomi biru China-ASEAN akan membantu seluruh rantau mengharungi tekanan luaran dan mengekalkan pertumbuhan stabil, di samping membuka ruang kerjasama baharu.
Dimaklumkan, hasil laut kasar Hainan naik 7.9 peratus tahun ke tahun pada 2025.
Unny Sankar Ravi Sankar dari kedutaan Malaysia melihat sektor ekonomi biru sebagai salah satu saluran paling berpotensi untuk membina sebuah pasaran bersama yang lebih bersepadu.
Mantan menteri hal ehwal marin Indonesia, Rokhmin Dahuri, pula mengakui meskipun terdapat ruang yang besar untuk kerjasama, namun masih wujud cabaran seperti penangkapan ikan berlebihan, pencemaran laut dan kehilangan biodiversiti. Katanya, China dapat memainkan peranan yang penting dengan sumbangan teknologi canggih termasuk AI, aplikasi digital pintar serta dron dan robot untuk membantu melestarikan sektor ekonomi biru.
- Ekonomi Marin China Catat RMB2.6 Trilion Suku Pertama 2026
- Projek Fotovoltaik Terbesar di Asia Tenggara Dibina China Mula Beroperasi di Laos
- Laporan AMRO:China Menjadi Hab Utama Rangkaian Pengeluaran Rantau ASEAN+3
- Pertumbuhan Ekonomi Asia Timur-Tenggara 2026 Dijangka Meningkat 4 Peratus
- Budaya Sebagai Jambatan Pamer Kecemerlangan Wanita – Diplomat China, ASEAN Bincang Warisan Budaya
- Keterbukaan Tahap Tinggi Demi Rancakkan Kerjasama China-ASEAN
- ACC Hoskan Dialog Mengenai FYP ke-15
- Keserasian Sistem Imbas Kod QR Suntik Momentum kepada Dagangan China, ASEAN
- AI Rombak Penghasilan Kandungan: Teknologi China Pacu Drama Mikro Asia Tenggara
- Teknologi Pintar Pacu Penaiktarafan Laluan Rentas Sempadan China-ASEAN




