Sambutan China Pacu Industri Durian Asia Tenggara

Foto pada 16 Oktober 2025 menunjukkan durian Musang King di Raub, Pahang. (Xinhua/Cheng Yiheng)

Foto pada 16 Oktober 2025 menunjukkan durian Musang King di Raub, Pahang. (Xinhua/Cheng Yiheng)

Di sebuah pusat logistik buah-buahan di Pingxiang berhampiran Youyi Guan (Friendship Pass), pintu masuk penting bagi hasil pertanian ASEAN di wilayah Guangxi, selatan China, cuti Hari Pekerja baru-baru ini menyaksikan pelancong dan pemborong menyerbu longgokan durian, tertarik dengan kesegaran buah dan harga yang berpatutan.

“Ramai pengunjung datang mencari pengalaman melawat-lawat kawasan sempadan dan membawa balik durian sebagai cenderamata,” kata Liu Xian, pengendali sebuah gerai tempatan.

Orang dalam industri melihat fenomena ini sebagai satu peralihan dalam struktur, bukannya sekadar trend semusim. “Oleh sebab pengguna China kini lebih tahu akan jenis, kematangan dan tekstur, pasaran telah beralih daripada harga seragam kepada harga bertingkat,” jelas Guan Caixia, seorang peniaga durian berpengalaman di Guangxi.

Pada 2025, China mengimport sejumlah 1.868 juta tan durian segar. Vietnam membekalkan 51 syer pasaran dari sudut volum, manakala Thailand kekal terdepan dari segi nilai, dibantu oleh prestij baka Monthong yang digelar “bantal emas”.

Memandangkan pengguna China kini lebih mementingkan asal usul dan kualiti yang konsisten, ditambah pula dengan kemunculan e-dagang yang mencipta peluang pertumbuhan baharu di bandar lebih kecil, pengeluar di Asia Tenggara sedang menumpukan usaha untuk kekal kompetitif.

“Kelebihan kami letaknya pada pengalaman penanaman dan pengeksportan yang lama terhimpun, kawalan kualiti yang diiktiraf antarabangsa, serta logistik yang dikhususkan kepada keperluan China,” maklum Niti Pratoomvongsa, kaunselor komersial Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Nanning.

“Pihak berkuasa Thailand juga menguatkuasakan Amalan Pertanian Baik dari ladang ke pelabuhan, bekerjasama rapat dengan pemeriksa di China untuk menjamin asal usul dan memantau sisa racun perosak,” tambah Pratoomvongsa.

Huang Meixia dari Charoen Pokphand (CP) Group menyatakan bahawa pengeksport Thailand kini menggredkan durian mengikut kategori A, B dan C. Buah gred A, yang mempunyai empat hingga lima pangsa berisi penuh, adalah paling laris.

Katanya lagi, ini telah mendorong penanam durian baik yang veteran mahupun yang baru untuk melabur dalam pertanian terpiawai dan teknologi supaya mencapai kualiti tertinggi secara konsisten.

Kesan riaknya juga telah sampai ke Indonesia, yang kini tampil sebagai pesaing berpotensi. Negara itu telah menubuhkan 240 “kampung durian” dan memperkenalkan teknologi pintar untuk memantau kebun dalam masa nyata.

Pada Januari lalu, kontena pertama durian beku Indonesia tiba di Pelabuhan Qinzhou Guangxi, menampakkan hasrat negara tersebut untuk merebut syer yang lebih besar dalam pasaran China yang nilai tahunannya mencecah 8 bilion dolar AS.

Di sebalik ledakan dalam perdagangan ini, adanya sebuah rangkaian logistik yang pesat berkembang. Durian Thai kini boleh tiba di Kunming, ibu provinsi Yunnan di barat daya China, dalam masa hanya 26 jam dengan Rel China-Laos. Pada musim puncak, kekerapan tren ditingkatkan daripada dua kepada enam perjalanan sehari, mengagihkan “raja buah” ke lebih 30 bandar China dalam 48 jam.

Bekalan durian telah menstabil secara umumnya, menurut Wang Zhengbo, pengerusi TWT Supply Chain, sebuah firma pengurusan rantaian bekalan berpangkalan di Guangxi. Katanya, durian kini boleh didapati sepanjang tahun.

“Durian masih jauh daripada tahap penepuan pasaran di China,” ujar Wang, sambil menekankan bahawa bilangan pelanggan tetap telah melangit daripada puluhan juta kepada lebih 100 juta.

Daripada logistik hinggalah kawalan kualiti, orang dalam industri percaya teknologi AI China makin terasa kehadirannya dalam rantaian bekalan durian. Prospek jangka panjang ternyata positif, membayangkan akan tibanya suatu evolusi dipacu teknologi bagi perdagangan durian global.

Video

Berita Berkaitan