China Kurangkan Kadar Tarif Ke Atas Sejumlah Barangan Import Pada 2026

(CRI)Selasa 30 Disember 2025

China akan mengenakan kadar tarif import sementara yang lebih rendah daripada kadar tarif untuk negara paling disukai (MFN) ke atas 935 barangan bermula 1 Januari 2026, menurut pengumuman Suruhanjaya Tarif Kastam Dewan Negara China pada Isnin.

Antaranya, kadar tarif import ke atas komponen kritikal dan bahan canggih akan dikurangkan untuk meningkatkan tahap kemandirian China dalam bidang sains dan teknologi, serta menggalakkan pembentukan sistem industri moden.

Selain itu, kadar tarif import sementara akan dibatalkan terhadap produk seperti motor mikro, mesin cetak dan asid sulfurik pada tahun 2026, digantikan dengan kadar tarif untuk MFN, yang dilihat bertepatan dengan komitmen China sebelum menganggotai Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Pada tahun 2026, China akan menambah perincian sebagai item tambahan di peringkat kebangsaan untuk produk termasuk robot bionik pintar dan minyak tanah bio-penerbangan dan ginseng hutan, sehingga menjadikan jumlah keseluruhan tarif meningkat ke 8,972 item.

Pada masa yang sama, China akan mengekalkan kadar tarif ke atas sejumlah barangan import berdasarkan 24 perjanjian perdagangan bebas dan peraturan perdagangan keutamaan yang ditandatangani dengan 34 rakan dagang.

Selain itu, China juga akan terus mengenakan tarif sifar terhadap 100% produk kepada 43 negara paling kurang membangun yang telah menjalin hubungan diplomatik dengan China untuk memperkasa kerjasama ekonomi dan perdagangan serta membantu pembangunan negara-negara tersebut.

Pada tahun 2026, China akan mengekalkan kadar tarif istimewa ke atas sejumlah barang import dari Bangladesh, Laos, Kemboja, dan Myanmar berdasarkan Perjanjian Perdagangan Asia-Pasifik serta perjanjian pertukaran nota antara kerajaan China dengan beberapa negara anggota ASEAN berkenaan.

Video

Berita Berkaitan