Dagangan Luar Rel China-Laos Lebihi 100 Bilion Yuan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 09 Oktober 2026

Penumpang menaiki kereta api C95 di Stesen Boten di Luang Namtha, Laos, pada 28 September 2026. (Foto oleh Wang Yuping/Xinhua)

Penumpang menaiki kereta api C95 di Stesen Boten di Luang Namtha, Laos, pada 28 September 2026. (Foto oleh Wang Yuping/Xinhua)

Rel China-Laos telah membawa lebih 20.77 juta tan barangan import dan eksport yang nilainya melebihi 100.4 bilion yuan sejak mula beroperasi pada 2021, menurut Kastam Kunming pada Khamis lalu.

Rel tersebut, yang telah mengendalikan lebih 25,000 kereta api barang antarabangsa, menyaksikan jumlah kargo tahunannya tumbuh pada kadar purata 24 peratus.

Dengan rangkaian yang meliputi 19 negara dan wilayah, rel itu mengangkut lebih daripada 3,900 kategori komoditi import dan eksport, membekalkan perkhidmatan kepada lebih 7,000 syarikat di merata China, maklum pihak kastam lagi.

Dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, nilai buah tropika Asia Tenggara seperti durian, manggis dan longan yang diimport melalui rel itu mencecah 5.26 bilion, merekodkan kenaikan 12.3 peratus tahun ke tahun. Setakat Rabu, nilai keseluruhan import buah seumpama menerusi jalan kereta api ini telah melebihi 16 bilion yuan.

Pada masa yang sama, syer eksport produk teknologi dengan nilai tambah tinggi seperti telefon pintar, robot perindustrian dan kenderaan tenaga baharu serta komponen yang berkenaan terus-menerus meningkat. Pada lapan bulan pertama tahun ini, nilai produk mekanik dan elektrik yang dieksport menggunakan rel ini mencatat 7.42 bilion yuan, melonjak sebanyak 58.4 peratus tahun ke tahun.

Rel China-Laos, yang dirasmikan pada Disember 2021, menghubungkan Kunming di provinsi Yunnan, barat daya China dan ibu negara Laos, Vientiane. Daripada sebuah koridor pengangkutan serantau, ia telah berkembang maju menjadi salah satu jalan utama bagi logistik antarabangsa.

Video

Berita Berkaitan