- Lain-lain
Menteri Luar China, Slovakia Berunding di Beijing, Bincang Peningkatan Kerjasama Dua Hala

Menteri Luar China, Wang Yi menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Slovakia, Juraj Blanar di Beijing, pada Selasa.
Wang Yi menyatakan bahawa di bawah bimbingan pemimpin kedua-dua negara, hubungan perkongsian strategik antara China dan Slovakia berkembang mantap dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan membuahkan hasil yang amat memuaskan.
Pada masa sama, menurut Wang, hubungan China-Slovakia telah menjadi teladan bagi negara yang saiz dan sistem berbeza untuk hidup bersama secara bersahabat, setara, dan sama menang.
China dan Slovakia berkongsi falsafah pembangunan dan kepentingan bersama yang meluas. Oleh itu, menurut Wang, China bersedia berganding bahu dengan Slovakia untuk mengukuhkan kepercayaan politik, dan meningkatkan koordinasi strategik.
Selain itu, China juga bersedia meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua negara, bagi mewujudkan hubungan dua hala yang berkualiti dan bertahap tinggi, sekali gus menyumbang kepada perkembangan mantap hubungan China-Eropah serta keamanan dan kestabilan dunia, kata Wang.

Blanarpula menyatakan bahawa pihaknya sentiasa memandang China sebagai rakan kongsi yang penting.
Beliau turut menzahirkan kesediaan untuk meluaskan kerjasama dengan China dalam sektor perdagangan dan pelaburan, kecerdasan buatan (AI), sains dan pendidikan serta lain-lain.
Blanar menegaskan bahawa pihaknya akan menyediakan iklim perniagaan baik untuk pelabur China, dan memberikan lebih banyak kemudahan kepada pertukaran lawatan individu antara kedua-dua negara.
Selain itu, menurut Blanar, Slovakia menolak proteksionisme dan bersedia memainkan peranan membina dalam dialog Eropah-China.




