Pasir Kuning Jadi “Lautan Biru”: Teknologi Pacu Transformasi Hijau Kubuqi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 16 Oktober 2026

Di Dalad Banner, wilayah autonomi Mongolia Dalam, utara China, deretan panel fotovolta biru tersusun bagai tiada penghujung, mengikut gerakan sang mentari umpama kawanan kuda menunggu beraksi. Di bawah panel tersebut, tumbuhan padang pasir subur menghijau, membantu menahan hakisan pasir. Dulunya pasir kuning terbentang luas sejauh mata memandang, gurun ini kini meneroka suatu jalan pembangunan yang mengintegrasikan tenaga boleh baharu, pemuliharaan ekologi dan penambahan pendapatan komuniti tempatan.

Transformasi daripada pasir kuning kepada “lautan biru” ini bukanlah hasil mana-mana satu usaha, sebaliknya ekoran gabungan panduan dasar, inovasi teknologi dan amalan peringkat akar umbi. Pada mulanya, stesen kuasa fotovolta dibina hanya untuk menjana kuasa elektrik. Namun, selepas projek tersebut terus berkembang, orang beransur-ansur menyedari panel itu juga dapat membaiki iklim mikro padang pasir dan menyuburkan bumi.

Sui Limin, ketua stesen kuasa fotovolta Dalad Banner, telah menyaksikan setiap langkah mengatasi rentetan cabaran yang mendatang melalui pemantauan hariannya, baik dalam pemasangan cerucuk penahan pasir dan mengawal hakisan angin mahupun pembangunan sistem operasi dan pengurusan pintar. Pada masa yang sama, petani dan gembala tempatan yang turut melibatkan diri dengan menanam tumbuhan di bawah panel tidak lagi hidup terperangkap oleh angin dan pasir yang tidak henti-henti. Mereka kini mengejar pencarian yang lebih lestari disokong oleh pembangunan ekologi.

Sebelum ini, Presiden China Xi Jinping telah menekankan perlunya “mencari model pembangunan lestari menyasarkan produktiviti tinggi, standard hidup tinggi, dan ekosistem sihat.” Peralihan daripada menjana kuasa elektrik semata-mata kepada model bersepadu “fotovolta + kawalan penggurunan + industri” membuktikan bukanlah dengan menundukkan alam dapat manusia menghapuskan kemiskinan, tetapi bagaimana teknologi digunakan untuk merealisasikan kewujudan bersama secara harmoni antara manusia dan alam serta manusia dan industri.

Memandang ke depan, pengalaman China melawan penggurunan kian mendapat perhatian khalayak global, tatkala negara ini bertungkus lumus bersama negara lain melahirkan lebih banyak keajaiban pembangunan yang membolehkan padang pasir berubah wajah menjadi oasis hijau.

Video

Berita Berkaitan