Ke Arah Hidup Lebih Cerah

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 20 Oktober 2026

“Jika mahu kaya, bina jalannya dahulu.” Pepatah Cina yang biasa didengari ini bergema lagi, menjadi sebut-sebutan di benua Afrika.

Dari Nairobi, ibu negara Kenya, ke hab perindustrian di Thika, jalan asal dulunya sesak teruk hinggakan perlu sekitar dua jam perjalanan pada waktu puncak pagi dan malam. Bermula pada 2009, tiga syarikat China telah menjalankan penaiktarafan terhadap beberapa seksyen jalan tersebut, melebarkannya daripada sebuah lebuh raya empat lorong kepada enam hingga lapan lorong, suatu kemajuan yang turut merapatkan Nairobi dan Thika.

Sejak Jalan Thika ini dibuka, perjalanan hujung ke hujung dipendekkan kepada hanya 30 hingga 40 minit. Lebih sedekad kemudian, jalan utama ini masih lagi lancar, memudahkan kehidupan komuniti setempat bahkan memacu pembangunan ekonomi serantau.

Jalan itu bukan sahaja mengubah masa perjalanan. Barang lebih cepat sampai ke pasar, orang lebih mudah bergerak, malah kawasan perumahan, perniagaan dan industri di sepanjang laluan telah berkembang maju. Sambungan koridor ini ke arah utara juga telah mencipta iklim yang lebih baik untuk pertukaran perdagangan dan ekonomi antara Kenya dan negara jiran seperti Ethiopia.

Ribuan kilometer dari situ, di Afrika Selatan, satu lagi nod ekonomi sedang dinaik taraf. Lebuh raya N3 yang menghubungkan Johannesburg dan Pelabuhan Durban ialah sebuah koridor logistik penting bagi Afrika Selatan dan juga seluruh rantau selatan Afrika. China State Construction Engineering Corporation bersama sebuah syarikat tempatan sedang menaiktarafkan seksyen-seksyen utama N3 serta persimpangan N2-N3, bagi meningkatkan kapasiti lalu lintas koridor ekonomi yang senantiasa sibuk ini.

Jalan raya menyambungkan pelabuhan dengan bandar dan barang dengan pasar, juga membawa masuk latihan kemahiran dan peluang kerja. Projek penaiktarafan N3 telah mencipta kira-kira 520 jawatan dan melatih lebih 200 orang muda tempatan. Pembina dari negara-negara berbeza yang baru sahaja berkenalan, sudah mula percaya antara satu sama lain dan bekerja bahu-membahu. Bak kata seorang pengurus pembinaan dari Afrika Selatan, “Kami sekarang seperti bersaudara.”

Pada 5 September 2024, dalam ucaptama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) di Beijing, Presiden Xi Jinping mengumumkan rancangan China untuk mengikat sepuluh perkongsian dengan Afrika dalam tiga tahun seterusnya untuk memperdalam sinergi dua hala sambil menerajui pemodenan Selatan Global.

Daripada Jalan Thika Kenya yang kini telah beroperasi lebih sedekad, kepada projek naik taraf N3 Afrika Selatan yang berjalan lancar, kerjasama China-Afrika makin luas menjangkaui infrastruktur hingga merangkumi latihan teknikal, penciptaan peluang kerja dan pembangunan komuniti.

Daripada amalan yang dipupuk di China kepada penerapannya di bumi Afrika, pengalaman China menaikkan taraf hidup rakyat miskin sedang disesuaikan dengan keadaan setempat dan ditukar menjadi hasil pembangunan, sekali gus membuka peluang baharu dalam haluan Selatan Global menuju pemodenan, membuka jalan ke arah kehidupan lebih cerah melalui peluang, pertumbuhan dan harapan.

Video

Berita Berkaitan