Xi Seru Anggota APEC Perkukuh Empat Teras Utama Komuniti Asia-Pasifik

(CRI)Khamis 19 November 2026

Presiden China, Xi Jinping menggesa semua anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk berganding bahu memperkukuh empat teras utama bagi membina Komuniti Asia-Pasifik yang lebih teguh.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan dan menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 di Shenzhen pada Khamis pagi.

Menurutnya China sentiasa menjadi penyokong, penggerak dan perintis dalam kerjasama ekonomi serantau, serta bersedia menggembleng tenaga dengan semua pihak bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Xi turut menghuraikan mengenai empat teras utama tersebut.

Pertama adalah memperkukuh teras ekonomi dan perdagangan. Perkara ini dilakukan dengan menggalakkan penyelarasan perjanjian perdagangan serantau, mempertingkatkan dialog dasar mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik, serta meningkatkan keupayaan pelbagai pihak untuk menyertai perjanjian perdagangan bertaraf tinggi.

Kedua adalah menaik taraf teras kesalinghubungan. Ia dilakukan dengan memantapkan 'kesalinghubungan fizikal' menerusi penambahbaikan rangkaian infrastruktur, memperkasa 'kesalinghubungan dasar' melalui penyelarasan peraturan, serta merapatkan 'hubungan sesama insan' menerusi pertukaran kebudayaan dan persefahaman rakyat.

Ketiga adalah membina teras inovasi. Usaha ini harus dicapai dengan mempergiat pembangunan infrastruktur digital, menambah baik tadbir urus digital dan kerjasama data serantau, mewujudkan ekosistem terbuka dan inovatif, meluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta memacu transformasi perindustrian.

Yang keempat adalah mengukuhkan teras pembangunan. Tindakan ini dilakukan dengan mendorong kerjasama keselamatan tenaga dan makanan serantau, memperdalam usaha membanteras rasuah rentas sempadan serta mengoptimumkan penggunaan dan pemuliharaan sumber asli demi mewujudkan pertumbuhan ekonomi mampan.

Video

Berita Berkaitan