Xi Sampaikan Ucaptama pada Sidang Kemuncak CEO APEC 2026

(CRI)Rabu 18 November 2026

China bersedia bersinergi dengan semua pihak ke arah membina komuniti Asia Pasifik dan mewujudkan kemakmuran bersama serantau.

Perkara itu dinyatakan Presiden China Xi Jinping ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Qianhai di Shenzhen pada Rabu.

Xi menyeru semua pihak supaya bersama-sama memelihara kedamaian dan kestabilan, membina jambatan untuk keterbukaan dan kerjasama, merangsang momentum pertumbuhan berasaskan pacuan inovasi serta terus meneroka pendekatan ke arah mewujudkan situasi sama menang.

Beliau berkata rantau Asia Pasifik mempunyai kawasan teluk yang paling penting di dunia.

China menyokong penubuhan Perikatan Kerjasama Ekonomi Kawasan Teluk Dunia bagi memperkukuh interaksi dan pertukaran antara pelbagai kawasan teluk serta meneroka pendekatan baharu kerjasama ekonomi Asia Pasifik.

Xi turut memaklumkan bahawa ekonomi China memaparkan daya tahan dan kedinamikan yang kukuh dengan kadar pertumbuhan mencapai 4.6 peratus pada tiga suku pertama tahun ini.

Beliau berkata Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 bukan sekadar pelan pembangunan China sendiri, malah juga menjana peluang untuk pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik bahkan dunia.

Menurut beliau, China komited menyediakan pasaran terbuka yang bersaiz mega, ruang pembangunan yang berprospek luas serta persekitaran kerjasama yang saling menggalakkan kepada komuniti perniagaan global.

Video

Berita Berkaitan