Xi Seru Bina Komuniti Asia Pasifik yang Bersolidariti, Terbuka, Inovatif dan Inklusif

(CRI)Khamis 19 November 2026

Asia Pasifik perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu dan terus membuka lembaran baharu dalam kerjasama serantau, sekali gus menggerakkan pembinaan komuniti Asia Pasifik yang bersolidariti, terbuka, inovatif dan inklusif.

Perkara itu dinyatakan Presiden China Xi Jinping ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)ke-33 di Shenzhen pada Khamis.

Xi mengibaratkan semua anggota keluarga Asia Pasifik berada di dalam kapal yang sama, sambil menegaskan bahawa semua anggota perlu bersatu padu dan saling membantu dalam mendepani ombak besar, serta memperluas kepentingan bersama dan terus memupuk kesedaran komuniti.

Beliau berkata keterbukaan dan kerjasama merupakan jalan yang mesti ditempuhi dalam memacu pembangunan Asia Pasifik.

Justeru, semua anggota perlu menjunjung regionalisme yang terbuka, mempercepat proses integrasi ekonomi, membina landskap kerjasama yang terbuka dan integratif, di samping menggalakkan perdagangan dan pelaburan yang bebas dan terbuka bagi memperluas ruang pertumbuhan Asia Pasifik.

Menyentuh tentang aspek inovasi, Xi menyifatkannya sebagai daya penggerak terbesar dalam menerajui pembangunan.

Beliau menekankan keperluan untuk merancakkan pertukaran dan kerjasama dalam bidang teknologi, mendorong pengaplikasian pelbagai hasil inovasi, selain mewujudkan persekitaran kerjasama yang terbuka, adil, saksama dan tanpa diskriminasi.

Xi turut menambah bahawa aspek pembangunan inklusif perlu dititikberatkan dalam usaha membina komuniti Asia Pasifik, memandangkan ekonomi serantau pelbagai dengan tuntutan pembangunan yang berlainan.

Beliau menyeru semua anggota terus memperkukuh kerjasama, memastikan hasil pembangunan dikongsi bersama dan meningkatkan rasa memperoleh manfaat dalam kalangan rakyat, supaya mencipta syarat kondusif untuk merealisasikan visi komuniti Asia Pasifik.

Video

Berita Berkaitan