Deklarasi Ketua Negara China-Rusia-AS untuk Keamanan

(CRI)Jumaat 20 November 2026

Presiden China Xi Jinping, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengadakan pertemuan tiga hala di Shenzhen, selatan China pada Khamis.

Pemimpin Rusia dan AS itu merakamkan penghargaan kepada China kerana menganjurkan pertemuan bersejarah tersebut.

Ketiga-tiga ketua negara berkenaan bertukar-tukar pandangan secara mendalam mengenai situasi antarabangsa, serta komited untuk memelihara kestabilan strategik dan keselamatan antarabangsa.

China, Rusia dan AS sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) komited untuk mendorong pembaharuan PBB bagi membolehkan organisasi itu dapat menangani cabaran global dengan lebih berkesan, selain memenuhi misi asasnya dalam memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Sementara itu, ketiga-tiga negara merancang untuk meningkatkan pengeluaran dan bekalan produk petroleum bertapis, demi manfaat negara-negara di seluruh dunia, di samping menegaskan semula kepentingan mengekalkan aliran tenaga yang stabil.

Selain itu, pemimpin ketiga-tiga negara juga mengakui bahawa prinsip persetujuan negara dan penghormatan terhadap kekebalan pegawai negara adalah amat penting, dan sependapat bahawa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan institusi seumpama tidak boleh menyalahgunakan bidang kuasa masing-masing.

Terakhir sekali, pemimpin ketiga-tiga negara turut mengulangi pendirian bahawa perang nuklear tidak boleh dimenangi dan tidak seharusnya dilancarkan, serta bersetuju untuk mengadakan dialog bagi mengurangkan risiko nuklear dan mencegah percambahan senjata nuklear.

Video

Berita Berkaitan