G20 Perlu Galas Tanggungjawab, Perjuangkan Pembangunan Global: Xi

(CRI)Rabu 16 November 2022

Anggota Kumpulan 20 (G20) perlu menggalas tanggungjawab sebagai kuasa besar bagi menyumbang kepada pembangunan global, kesejahteraan manusia dan kemajuan dunia.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping ketika menyampaikan ucaptama dalam sidang kemuncak ke-17 G20 di Bali, Indonesia pada Selasa.

“Kita perlu menggerakkan pembangunan global ke arah lebih inklusif kerana solidariti membawa kekuatan, sedangkan perpecahan hanya menuju jalan buntu.”

“Kita perlu saling menghormati, mencari titik persamaan sambil menerima perbezaan, hidup bersama secara damai, dan mendorong pembinaan ekonomi dunia yang terbuka,” kata beliau.

Xi menyarankan supaya anggota G20 memastikan pembangunan global membawa lebih banyak manfaat dikongsi bersama serta menjadi lebih berdaya tahan.

Beliau juga menegaskan perlunya untuk terus mempertahankan sistem perdagangan multilateral berteraskan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), aktif mendorong pembaharuan WTO dan memacu kebebasan dan kemudahan bagi aktiviti perdagangan serta pelaburan.

“China telah mengemukakan pelan tindakan kerjasama inovasi digital dan ingin bersinergi dengan semua pihak terlibat untuk mewujudkan iklim pembangunan ekonomi digital yang terbuka, adil dan tanpa diskriminasi," katanya.

Selain itu, Xi menyifatkan keselamatan makanan dan tenaga sebagai cabaran paling mendesak dalam pembangunan dunia.

Jelas beliau, krisis berkenaan bukan berpunca daripada pengeluaran atau permintaan, tetapi disebabkan terjejasnya rantaian bekalan dan kerjasama antarabangsa.

“Pelbagai negara perlu membentuk hubungan rakan kongsi berkaitan komoditi, membina pasaran komoditi pukal yang terbuka, stabil dan mampan, di samping melicinkan rantaian bekalan dan menstabilkan harga pasaran,” kata beliau.

Xi turut menekankan perlunya menentang tindakan mempolitikkan isu makanan dan tenaga atau menggunakannya sebagai alat dan senjata.

"Sekatan sepihak mesti dibatalkan, begitu juga sekatan terhadap kerjasama sains dan teknologi yang berkaitan," tambah beliau.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan