HSK Lancar Ujian Tahap Kemahiran Lebih Tinggi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 22 November 2022

HSK, ujian standard kemahiran bahasa Mandarin, bakal mengadakan ujian pertama untuk taraf penguasaan lebih tinggi, pada 26 Nov 2022.

Hanyu Shuiping Kaoshi, iaitu ujian standard rasmi bagi menilai kemahiran bahasa Mandarin atau HSK, bakal mengadakan ujian pertama bagi calon bukan penutur asli yang taraf penguasaannya lebih tinggi, pada 26 November ini. Demikian maklum Pusat Pendidikan dan Kerjasama Bahasa (Center for Language Education and Cooperation) yang juga merupakan penganjur ujian itu.

Kriteria baharu berdasarkan Piawaian Penggredan Kemahiran Bahasa Mandarin untuk Pendidikan Bahasa Mandarin Antarabangsa yang diterima pakai sejak tahun lalu, memperkenalkan tiga lagi ranking bermula dari HSK 7 hingga HSK 9.

Jumlah soalan adalah sebanyak 98, yang menilai kemahiran calon dari segi mendengar, bertutur, membaca, menulis dan menterjemah.

Ujian tersebut direka khas untuk pelajar antarabangsa yang mengikuti program pengajian pascasiswazah dalam bahasa Mandarin di luar negara China serta bukan penutur asli yang menggunakan bahasa Mandarin dalam penyelidikan akademik atau komunikasi ekonomi, budaya dan saintifik.

Penganjur berkata, bagi ujian tahap HSK 1 hingga HSK 6, kesahan, kandungan, perbendaharaan kata dan bentuknya tidak akan berubah untuk masa ini.

Sejumlah 240 ribu calon dari lebih 140 negara menduduki ujian HSK dalam enam bulan pertama tahun ini, iaitu naik sekitar 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Kini terdapat 1,302 pusat ujian HSK di seluruh dunia, meliputi 161 buah negara. Antaranya, 70 peratus menawarkan ujian dalam talian.

Menurut Kementerian Pendidikan China, sebanyak 76 negara menawarkan kursus Mandarin dalam sistem pendidikan kebangsaan masing-masing. Pada masa ini, lebih 25 juta orang sedang belajar bahasa Mandarin di luar negara China.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan