Pelancaran Buku di Malaysia Peringati Ulang Tahun Penting BRI

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 17 Januari 2023

(foto: Kementerian Luar Negeri)

Ahli akademik dan para pegawai berkenaan telah memperingati ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) saranan China pada 9 Januari, dengan pelancaran sebuah buku ilmiah mengenai rangka kerja kesalinghubungan.

Walk Along the Road: Ten Years of BRI menghimpunkan lebih 100 ulasan berkisarkan BRI cetusan sekumpulan ilmuwan dari universiti-universiti Malaysia dalam bahasa Cina, Melayu dan Inggeris. Ini akan membolehkan pembaca memahami BRI dari pelbagai sudut pandangan, kata pihak penganjur dalam satu kenyataan.

(foto: Kementerian Luar Negeri)

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dalam mesej ringkas menerusi video berkata, “Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 BRI. Sememangnya ini satu batu tanda penting dan perjalanan yang cukup berhasil buat China, begitu juga bagi negara-negara lain yang terlibat dalam BRI, termasuk Malaysia.”

Beliau menzahirkan harapan untuk melihat ikatan perdagangan dan pelaburan bilateral diperdalam di bawah perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia, membuka prospek lebih luas bagi kemajuan sinergi dua hala.

(foto: Kementerian Luar Negeri)

Ouyang Yujing, Duta Besar China ke Malaysia semasa acara tersebut menyifatkan penerbitan buku ini sebagai sesuatu yang tepat pada masanya.

Sejak 2013, China telah menjunjung aspirasi untuk membina sebuah komuniti berkongsi nasib sesama insan yang berteraskan prinsip berunding secara terperinci, bersama-sama menyumbang dan berkongsi manfaat. China telah berganding bahu dengan Malaysia dan rakan-rakan kongsi lain dalam memajukan kerjasama Jalur dan Laluan, ujar Duta Besar itu.

Kian hari kian banyak syarikat China yang menanam pelaburan di Malaysia khususnya dalam industri-industri baru muncul seperti e-dagang, ekonomi digital dan pembangunan hijau.

Ouyang mengambil contoh daripada “dua negara, dua taman” dan Rel Laluan Pantai Timur (ECRL), dua projek usaha sama yang menjadi kemegahan bagi China dan Malaysia di bawah BRI, sebagai contoh keberhasilan penglibatan Malaysia dalam inisiatif tersebut. Kedua-duanya telah membawa faedah ekonomi di samping mencipta peluang pekerjaan di Malaysia.

(foto: Kementerian Luar Negeri)

Majlis pelancaran buku Walk Along the Road: Ten Years of BRI dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Kemanusiaan Asia Tenggara dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TARUMT), dikelolakan bersama oleh Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia dengan sokongan Kedutaan Besar China.

(foto: Kementerian Luar Negeri)

Liow Tiong Lai, pengerusi lembaga pengelola TARUMT, mengucapkan terima kasih kepada para ilmuwan terlibat kerana menjadikan maklumat mengenai BRI yang tak terkira banyaknya itu mudah diperoleh khalayak di Malaysia.

“Adalah amat mustahak maklumat ini mudah difahami dan diperoleh orang ramai,” ujarnya. Beliau mahu melihat Malaysia dan China bergabung tenaga memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan